Sunday 17 January 2021

CERITA RAKYAT NEGERI SEMBILAN DAERAH REMBAU LEGENDA DANAU TENKULUK (LAGENDA PENDOSA)

 

CERITA LAGENDA DANAU TENGKULUK

 

Lokasi: Kampung Rendah

Daerah Rembau

Negeri Sembilan Darul Khusus.

 

Ditulis dan diolah semula oleh : Zulkifli bin Kamaruddin

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM

 

Kononnya pada zaman dahulu, tersebutlah kisah seorang ibu tunggal bersama dengan seorang anak gadis tinggal di sebuah kampung yang bernama Kampung Paya. Kampung ini terletak tidak jauh daripada pekan Rembau di Negeri Sembilan Darul Khusus. Ibu tunggal tersebut bernama Wan Runduk manakala anak gadisnya bernama Nurbaya. Mereka berdua tinggal dua beranak di Kampung Paya apabila suami Wan Runduk menceraikannya kerana mempunyai isteri lain di negeri seberang. Mereka berdua menyiara kehidupan dengan mengerjakan sawah padi milik warisan keluarga.

 

Seawal pagi mereka dua beranak akan bangun awal untuk turun ke bendang bagi menyara kehidupan. Pada waktu tenghari, mereka berdua beranak ini akan pulang ke rumah untuk berehat kerana pada sebelah petang mereka akan turun sungai pula untuk menangkap ikan. Nurbaya digambarkan sebagai seorang anak gadis yang agak kasar kelakuannya. Nurbaya akan memberontak jika segala kemahuannya tidak dipenuhi. Namun, Wan Runduk tidak pernah berkecil hati dengan kelakuan Nurbaya. Malah, Wan Runduk adalah seorang ibu yang sangat penyabar melayan karenah Nurbaya. Wan Runduk sedar bahawa Nurbaya adalah satu-satunya anak yang ada dimuka bumi ini.   Justeru, Wan Runduk mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada Nurbaya selagi dia masih bernyawa.

 

“Mak. ohhh mak. Sampai bila kita nak mengerjakan sawah ini. Pendapatan kita pun tak seberapa. Nurbaya rasa lebih baik kita jualkan saja sawah kita kepada orang kaya di kampung kita. Kemudian, wang emas yang kita dapat tu kita guna untuk berniaga di pasar hujung kampung kita” Kata Nurbaya memujuk ibunya. Wan Runduk hanya terdiam mendengar pujukan anaknya itu. Jauh disudut hatinya ada kebenaran juga apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Dia juga sebenarnya sudah tidak terdaya untuk mengerjakan sawah bendang itu. Tenaganya setiap hari semakin berkurangan kerana usia semakin meningkat. Lalu Wan Runduk pun berkata kepada anaknya.“Wahai anakku Nurbaya. Ibu pun terfikir juga apa yang kamu katakan. Ibu pun semakin tua dan semakin tidak larat untuk mengerjakan sawah kita. Baiklah, nanti pagi esok ibu akan berjumpa dengan Dato Lembaga Adat untuk mengajukan perkara ini.” Nurbaya hanya mengangguk dan melemparkan senyuman sinis. Jauh disudut fikiranya, dia telah mempunyai niat lain apabila sawah bendang itu dijual. Pada keesokan harinya, Wan Runduk bergegas ke rumah Dato Lembaga Adat. Setelah memberi salam, Wan Runduk segera naik ke beranda Rumah Dato Lembaga Adat beratap Minangkabau itu. “Ada hajat apa Wan Runduk datang ke teratak hamba pagi-pagi lagi ni?.

 

“Begini Dato hamba berhasrat untuk menjual tanah bendang hamba di hujung kampung ini. Hamba tidak larat untuk mengusahakannya” jelas Wan Runduk sambil menghirup secawan kopi panas yang berada di atas meja. “Pada pandangan hamba, mengikut sistem adat kita, tanah tersebut adalah tanah pusaka adat warisan keluarga tuan hamba. Agak mustahil jika tanah pusaka tersebut dijual kepada orang lain. Tanah pusaka itu hanya boleh diwarisi oleh waris wanita sahaja dalam keluarga tuan hamba mengikut pesaka bergilir dalam sistem Adat Perpatih. Wan Runduk terdiam mendengar penjelasan Dato Lembaga Adat. Kemudian berkata, “Hamba maklum Dato bahawa tanah bendang itu tanah pusaka adat, tetapi bagaimana jika hamba dan anak gadis hamba sudah tidak larat mengusahakannya lagi, suami hamba sudah tiada, Nurbaya pula masih belum berumah tangga, umur hamba pula semakin hari semakin lanjut dan tenaga semakin berkurang. Wan Runduk cuba menjelaskan kepada Dato’ Lembaga Adat tentang masalahnya. Hamba mengerti akan masalah tuan hamba, tapi apakah daya hamba, aturan adat kita telah menetapkan peraturanya bergitu. Ingatkah tuan hamba pepatah “biar mati anak, jangan mati adat” yang menjadi pegangan kita sejak zaman berzaman lagi.” Wan Runduk hanya terdiam, keputusan Dato Lembaga Adat itu tidak dapat disangkal lagi. Fikiran Wan Runduk buntu.

 

“Apakah yang harus aku katakan kepada Nurbaya kelak. Keputusan bahawa tanah bendang itu telah diputuskan mengikut sistem adat. Aku pasti Nurbaya akan mengamuk apabila mengetahuinya”.

 

Pada masa yang sama, Nurbaya telah mengadakan pertemuan dengan orang kaya itu untuk mengadakan perundingan tentang tanah bendang tersebut. “Hamba bersetuju untuk menjual tanah bendang itu tapi dengan satu syarat”. Nurbaya cuba menyakinkan orang kaya yang bukan orang semenda di kampung itu. “Apa syaratnya ? orang kaya itu menginginkan kepastian. Nurbaya berkata “Bunuh ibu hamba dan buang mayatnya di sebuah bukit di Ulu Sepri sebaik sahaja tuan hamba menyerahkan 200 ketul emas kepada hamba.”. Orang kaya tersebut mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan syarat yang dinyatakan itu.

 

Seterusnya, Nurbaya segera beredar menuju ke rumahnya. Wan Runduk juga pulang ke rumah dengan perasaan yang tidak tenteram. Sepanjang perjalanan. Wan Runduk hanya berfikir tentang apakah cara untuk menjelaskan kepada Nurbaya supaya anak kesayangannya itu tidak mengamuk. Wan Runduk sampai ke rumahnya apabila hari telah larut malam. Apabila sampai di rumah, Wan Runduk mendapati anaknya Nurbaya telah tidur dengan nyenyak.

 

Pada keesokkan paginya, seperti biasa Wan Runduk dan Nurbaya akan turun ke bendang. Apabila waktu tengahari menjelang tiba, kebiasaanya mereka berdua beranak ini akan pulang ke rumah. Namun, pada hari itu Wan Runduk mengajak anaknya untuk berehat di sebuah dangau yang terletak berhampiran dengan kawasan bendang mereka. “Mak mak. Nurbaya mendekati ibunya. “Apa kata Dato Lembaga Adat tentang tanah kita itu”. Nurbaya melanjutkan perbualannya. “emm, begini anakku. Ibu telah berjumpa dengan Dato Lembaga Adat tentang hal tanah bendang kita. Tanah bendang ini tidak boleh dijual kepada sesiapapun. Tanah itu adalah tanah pusaka, dan menyalahi hukum adat jika tanah itu dijual.”

 

Apabila mendengar kata-kata daripada Wan Runduk, Riak wajah Nurbaya berubah dengan serta merta. Dengan nada suara yang marah lalu Nurbaya membaling bekalan makanan yang dibawa oleh ibunya itu ke dalam sawah bendang. Seterusnya, Nurbaya menghampiri ibunya Wan Runduk lalu menarik rambut ibunya dengan kuat seraya berkata.

 

“Hei orang tua yang tak sedar dek untung. Aku tidak peduli apa yang Dato Lembaga Adat katakan. Aku mahu urusan tanah bendang ini selesai hari ini juga. Kau bukan tak tahu aku dah lama hidup susah”. Seterusnya, Nurbaya  dengan kejam mengheret ibunya turun daripada dangau itu untuk menuju ke rumah Dato Lembaga Adat.

 

Orang kampung yang masih mengerjakan sawah pada masa itu amat terkejut melihat Nurbaya mengheret ibunya di atas tanah lumpur bendang untuk menuju ke rumah Dato Lembaga Adat. Tubuh Wan Runduk penuh dengan luka. Wan Runduk merayu-rayu kepada anaknya Nurbaya. “Anakku Nurbaya. Janganlah kau seksa ibu begini. Kasihani ibu wahai anakku. Tidakkan kau sedar akulah orang yang membesarkan mu.”

 

“Ah… aku tidak peduli semua itu. Yang penting tanah bendang ini harus dijual. Dan selepas itu, riwayat hidupmu akan tamat juga”, kata Nurbaya dengan angkuh dan sombongnya.

 

Dalam keadaan tidak bermaya dan masih diseret oleh Nurbaya, Wan Runduk berkata. “Wahai tuhan Yang Maha Berkuasa. timpakan azab kepada anakku Nurbaya supaya dia sedar tentang perbuatannya kepada ibunya ini.” Dengan tidak semena-mena. Tiba-tiba langkah Nurbaya terhenti. Langit di angkasa bertukar gelap dan kilat sabung-menyabung. Burung-burung berterbangan melarikan diri. Orang ramai disekeliling bertempiaran dan terkejut dengan peristiwa yang berlaku. “Ya tuhan, apakah yang terjadi kepada tubuhku. Kelihatan kaki Nurbaya seolah-olah ditarik sesuatu ke dalam tanah. “Mak… Mak… Mak… tolong Nurbaya Mak. Semakin Nurbaya menjerit semakin cepat dirinya disedut oleh tanah bendang itu. Wan Runduk hanya terdiam melihat anaknya ditelan oleh tanah bendang itu. Sedikit demi sedikit tubuh Nurbaya tengelam ditelan tanah bendang itu. Akhirnya, hanya tengkuluk yang dipakai oleh Nurbaya sahaja yang kelihatan tinggal di atas tanah bendang itu. Oleh kerana hujan semakin lebat serta kilat sabung menyabung, kawasan tanah bendang tersebut bertukar menjadi danau. Sempena peristiwa tersebut, danau tersebut diberikan gelaran Danau Tengkuluk. Oleh kerana perubahan geografi dan bentuk muka bumi, kawasan danau tersebut menjadi kering. Kini kawasan tersebut menjadi ladang kelapa sawit bagi tujuan perniagaan.

 

 

 Cerita ini telah diterbitkan di ruang cerpen  Antologi Cerita Teladan, Puisi dan Cerpen Kanak-Kanak diselenggara oleh Hamidi Md Yudin Hlm 62 hingga 65

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment