Sunday 17 January 2021

CERITA RAKYAT NEGERI PERAK DARUL RIDZWAN DAERAH PERAK TENGAH NAKHODA AJI DAN ASAL USUL TASIK KUBANG AJI

 

CERITA LAGENDA NAKHODA AJI

ASAL USUL TASIK KUBANG AJI

 

Lokasi: Kampung Tanjung Dedalu, Mukim Belanja

Daerah Perak Tengah

Negeri Perak Darul Ridzwan

 

oleh: Zulkifli bin Kamaruddin

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM

 

Tersebutlah sebuah kisah pada zaman dahulu seorang ibu tunggal bersama seorang anak lelaki tinggal di sebuah desa yang bernama Kampung Tanjung Dedalu, kampung ini terletak bersebelahan dengan Sungai Perak. Si ibu bernama Siti Nik manakala Si anak bernama Aji.

 

“Mak... Mak… apakah yang mak bawa pulang daripada pasar tadi” Tanya Aji kepada ibunya dengan wajah yang ceria. “Ibu bawakan Aji Ikan Loma dan Sayur Pucuk Manis untuk makan malam kita hari ini” balas Mak Siti Nik sambal menjuntaikan kaki dibawah tangga. “Wah sedap sungguh lauk kita malam ini ya mak” Aji membalas sambil mengambil bakul yang berisi bekalan yang dibawa oleh ibunya tadi”. Mak Siti Nik hanya mampu tersenyum apabila melihat Aji yang semakin hari semakin meningkat remaja. Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, akhirnya Aji menjadi seorang dewasa. Aji menjadi seorang lelaki yang sangat kacak dan tanpan sehingga menjadi bualan di seluruh pelusuk desa..

 

“Mak, sampai bila kita ingin hidup begini?. Aji sudah bosan asyik duduk di kampung ini. Pergi ke sawah dan berbendang…Bolehkah Aji ingin merantau mencari kerja di tempat lain. Manalah tahu boleh mengubah nasib kita” Kata Aji kepada ibunya.Pada masa itu, kebetulan terdapat sebuah kapal besar sedang berlabuh di Sungai Perak untuk mengisi keperluan.

 

“Mak… Mak… Aji ada berita gembira untuk mak.”. Mak Siti Nik terkejut dengan kemunculan Aji secara tiba-tiba. “Ya, anakku Aji. Berita apakah yang kamu ingin sampaikan kepada mak?” Aji dapat kerja di kapal itu.

 

 

Pada keesokkan harinya, Aji bersiap-siap untuk menuju ke kapal nakhoda itu. Sebelum meninggalkan ibunya, Aji memohon restu daripada Mak Siti Nik supaya sentiasa mendoakan keselamatannya semasa bekerja di kapal tersebut.

 

“Mak doakan keselamatan Aji ya mak. Nanti Aji pulang Aji akan bawa mak berpindah dari desa ini. Kita mulakan kehidupan baru”.

 

Mak Siti Nik hanya menganguk serta memeluk Aji dengan erat.

Apabila Aji sampai di kapal tersebut, Nakhoda itu menyambutnya dengan mesra. Aji telah ditugaskan menjadi pramusaji di bahagian dapur kapal. Selang beberapa hari Aji bekerja di atas kapal itu, nakhoda kapal itu ingin meneruskan pelayarannya ke negeri Siam. Maka sauh kapal pun diangkat dan layar pun dilabuhkan bagi meneruskan pelayaran. Sedikit demi sedikit kapal nakhoda meninggalkan muara Sungai Perak..

 

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun lamanya Aji meninggalkan ibunya. Sejak Aji tiada lagi di sisi Mak Siti Nik, kehidupan Mak Siti Nik tidak seceria dahulu. Mak Siti Nik sering jatuh sakit. Kadang-kala Mak Siti Nik sering termimpi-mimpikan anaknya akibat terlalu rindu yang amat. Di dalam tempoh pelayaran tersebut, Aji telah mempelajari pelbagai ilmu perkapalan, kelautan dan perniagaan bersama dengan nakhoda itu. Bermula bertugas sebagai seorang pramusaji di dapur kapal akhirnya Aji dinaikkan pangkat menjadi ketua anak-anak kapal. Sikapnya yang rajin serta jujur dan amanah dalam menjalankan tugas akhirnya mendapat pujian dan kepercayaan yang tinggi daripada nakhoda. Atas tanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan baik. Akhirnya, Aji dilantik menjadi nakhoda kapal.

 

Dengan takdir tuhan, akhirnya kapal Nakhoda Aji berlayar hingga sampai di muara Sungai Perak. Nakhoda Aji pada masa tersebut berasa hairan dengan kawasan pelabuhan yang disinggahinya pada masa ini.

 

“Hamba rasa macam serasi benar kawasan pelabuhan ini. Apakah nama tempat kita berlabuh ini?” tanya Nakhoda Aji kepada salah seorang anak kapalnya. Anak kapal itu pun lalu berkata “Tempat ini bernama Tanjung Dedalu Tuan Nakhoda”. Nakhoda Aji terdiam sebentar apabila mendengar kata-kata daripada anak kapalnya itu.

 

Perkhabaran berita kapal Nakhoda Aji berlabuh di muara Sungai Perak akhirnya sampai ke pengetahuan Mak Siti Nik. Mak Siti Nik pada masa itu tidak berapa sihat segera bersiap untuk menuju ke muara Sungai Perak untuk melihat siapakah nakhoda kapal itu. Apabila sampai di gigi air sungai, Mak Siti Nik cuba untuk melihat siapakah nakhoda kapal itu. Ketika Nakhoda Aji turun dari kapal menuju ke daratan, Mak Siti nik terkejut apabila menatap wajah nakhoda itu.

 

“Ya tuhanku, adakah tuan nakhoda ini anak kandungku yang hilang sekian lama”,

desus hati kecilnya.

 

            

Pada masa itu juga, Nakhoda Aji bersama anak-anak kapalnya sedang sibuk memunggah barang dagangan serta mengambil bekalan air dan bahan mentah untuk meneruskan pelayaran. Dalam kesesakan orang ramai di kawasan pelabuhan, Mak Kundur mengekori Nakhoda Aji bagi mendapatkan kepastian sama ada Nakhoda Aji anaknya atau tidak. Dengan takdir tuhan, apabila Nakhoda Aji sedang duduk di sebuah warung, Mak Siti Nik terlihat kesan parut yang terdapat disebelah tangan kanan Nakhoda Aji apabila Nakhoda Aji menyinsing lengan bajunya.

 

“Ya tuhanku, sesungguhnya adalah benar petunjuk daripada mu bahawa tuan nakhoda ini adalah anak kandungku yang hilang selama ini”. Lonjak hatinya dengan penuh kegembiraan. Sambil menadah tangan.

 

“Terima kasih ya tuhan kerana engkau telah menemukan anakku semula ke pangkuan aku”

 

Dengan langkah perlahan sambil membawa sebatang tongkat, Mak Siti Nik berjalan menuju ke arah Nakhoda Aji. Apabila sampai di meja Nakhoda Aji, Mak Siti Nik lalu berkata,

 

“Wahai tuan nakhoda yang budiman, adakah tuan nakhoda kenal siapakah hamba ini”.

 

Nakhoda Aji sangat terkejut dengan kemuculan wanita tua yang berbau busuk serta bertongkat itu. Nakhoda Aji melihat susuk tubuh wanita itu. Lalu berkata dalam hatinya.

 

“Adakah ini ibuku.”

 

Pada masa yang sama, semua anak-anak kapal serta orang ramai yang ada di warung itu sedang memerhati Nakhoda Aji dengan pandangan yang pelik. Lalu Nakhoda Aji pun berkata.

 

“Wahai tuan hamba. Siapakah gerangan menghampiri hamba di sini. Dan hamba tidak kenal siapakah tuan hamba”, balas Nakhoda Aji. Apabila dilihatnya riak wajah Nakhoda Aji kelihatan pelik, maka Mak Siti Nik pun berkata.

 

“Wahai anakku Aji. Tidakkah kau ingat ibumu yang pernah kau tinggalkan dulu untuk mencari kerja di atas kapal. Apakah kau lupa bahawa kau ingin membawa mak apabila kau berjaya nanti.” Jelas Mak Siti Nik.

 

Apabila mendengar kata-kata daripada Mak Siti Nik, riak wajah Nakhoda Aji berubah dengan serta merta. Manakala anak-anak kapal dan orang ramai disekeliling warung tersebut kelihatan pelik dan berasa hairan dengan kata-kata Mak Siti Nik. Dengan nada suara yang marah lalu Nakhoda Aji menghentakan tanganya di atas meja.

“Cis… orang tua tak sedar diri. Wajah yang hodoh, badan berbau, ada hati mengaku kau ibuku. Aku tidak mempunyai ibu di kawasan ini. Ibu dan bapaku telah lama meninggal dunia. Jika engkau mahu makan di warung ini silakan. aku sudi membayar. Tapi jika kau untuk berkata-kata perkara yang tidak masuk akal. Pergilah kau dari sini.

 

Mak Siti Nik sangat terkejut dan sedih dengan kata-kata yang dikatakan oleh Nakhoda Aji. Dengan linangan air mata Mak Siti Nik berkata.

 

“Ya tuhan. Tergamak kau berkata begini kepada ibu yang membesarkan mu dengan penuh dengan penat lelah selepas kematian ayahmu. Akulah Mak Siti Nik yang melahirkan dan membesarkan mu. Tidakkah kau ingat wahai Aji. Jika kau inginkan kebenaran cuba engkau lihat parut yang ada di lengan kanan tanganmu. Parut itu adalah tanda.

 

Dengan perasaan malu beserta marah dengan kata-kata Mak Siti Nik, Nakhoda Aji bangun lalu mengeluarkan keris yang terselit dipinggangnya. Lalu berkata.

 

“Jika kau tidak mahu nyawamu ku tamatkan dihujung keris ini, lebih baik engkau berambus dari sini”.

 

Apabila mendengar kata-kata Nakhoda Aji, Mak Siti Nik segera mara ke arah Nakhoda Aji seraya berkata.

 

“Tikamlah ibumu ini wahai Aji. Ibu rela mati di tangan mu ini. Orang ramai di sini menjadi saksi kematianku jika aku berdusta bahawa engkau adalah anakku.”

 

Kesabaran Nakhoda Aji tidak dapat dibendung lagi. Kata-kata Mak Siti Nik tidak diendahkannya. Lalu Nakhoda Aji cuba untuk menikam Mak Siti Nik dengan kerisnya. Sewaktu Nakhoda Aji ingin menikam ibunya. Tiba-tiba tangannya menjadi kaku. Langit di angkasa bertukar gelap dan kilat sabung-menyabung. Permukaan air muara Sungai Perak yang tenang tiba-tiba bergelora. Orang ramai disekeliling bertempiaran dan terkejut dengan peristiwa yang berlaku. Tubuh Nakhoda Aji tiba-tiba menjadi kaku. Akhirnya, Nakhoda Aji rebah ke bumi. Apabila terlihat Nakhoda Aji rebah, beberapa orang anak kapal segera membawa Nakhoda Aji ke dalam kapal. Dalam keadaan kelam-kabut, kelasi kapal segera menarik sauh untuk belayar. Apabila kapal Nakhoda Aji ingin berlayar menuju ke tengah muara sungai tiba-tiba kapal tersebut pecah dan sedikit demi sedikit karam ke dalam Sungai Perak. Semasa kapal tersebut mulai karam, orang ramai mendengar suara meminta tolong serta teriakan meminta maaf kepada Mak Siti Nik. Suara itu dipercayai daripada Nakhoda Aji yang menderhaka kepada ibunya.

 

Sebaik sahaja kapal Nakhoda Aji karam, Mak Siti Nik rebah ke bumi dan meninggal dunia. Jasad Mak Siti Nik tiba-tiba bertukar menjadi sebatang pohon Ara dan tumbuh di tebing sungai itu

 

 Cerita ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

 Dalam ruangan Cerita rakyat Majalah Dewan Pelajar Hlm 40-41 Dewan Pelajar Bil 11 tahun 2020

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment