Sunday 17 January 2021

CERITA RAKYAT NEGERI PERAK DARUL RIDZWAN DAERAH KINTA LAGENDA PUTERI HIJAU DAN ASAL USUL GUNUNG MAT SURAT IPOH

CERITA RAKYAT NEGERI SEMBILAN DAERAH REMBAU LEGENDA DANAU TENKULUK (LAGENDA PENDOSA)

 

CERITA LAGENDA DANAU TENGKULUK

 

Lokasi: Kampung Rendah

Daerah Rembau

Negeri Sembilan Darul Khusus.

 

Ditulis dan diolah semula oleh : Zulkifli bin Kamaruddin

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM

 

Kononnya pada zaman dahulu, tersebutlah kisah seorang ibu tunggal bersama dengan seorang anak gadis tinggal di sebuah kampung yang bernama Kampung Paya. Kampung ini terletak tidak jauh daripada pekan Rembau di Negeri Sembilan Darul Khusus. Ibu tunggal tersebut bernama Wan Runduk manakala anak gadisnya bernama Nurbaya. Mereka berdua tinggal dua beranak di Kampung Paya apabila suami Wan Runduk menceraikannya kerana mempunyai isteri lain di negeri seberang. Mereka berdua menyiara kehidupan dengan mengerjakan sawah padi milik warisan keluarga.

 

Seawal pagi mereka dua beranak akan bangun awal untuk turun ke bendang bagi menyara kehidupan. Pada waktu tenghari, mereka berdua beranak ini akan pulang ke rumah untuk berehat kerana pada sebelah petang mereka akan turun sungai pula untuk menangkap ikan. Nurbaya digambarkan sebagai seorang anak gadis yang agak kasar kelakuannya. Nurbaya akan memberontak jika segala kemahuannya tidak dipenuhi. Namun, Wan Runduk tidak pernah berkecil hati dengan kelakuan Nurbaya. Malah, Wan Runduk adalah seorang ibu yang sangat penyabar melayan karenah Nurbaya. Wan Runduk sedar bahawa Nurbaya adalah satu-satunya anak yang ada dimuka bumi ini.   Justeru, Wan Runduk mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada Nurbaya selagi dia masih bernyawa.

 

“Mak. ohhh mak. Sampai bila kita nak mengerjakan sawah ini. Pendapatan kita pun tak seberapa. Nurbaya rasa lebih baik kita jualkan saja sawah kita kepada orang kaya di kampung kita. Kemudian, wang emas yang kita dapat tu kita guna untuk berniaga di pasar hujung kampung kita” Kata Nurbaya memujuk ibunya. Wan Runduk hanya terdiam mendengar pujukan anaknya itu. Jauh disudut hatinya ada kebenaran juga apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Dia juga sebenarnya sudah tidak terdaya untuk mengerjakan sawah bendang itu. Tenaganya setiap hari semakin berkurangan kerana usia semakin meningkat. Lalu Wan Runduk pun berkata kepada anaknya.“Wahai anakku Nurbaya. Ibu pun terfikir juga apa yang kamu katakan. Ibu pun semakin tua dan semakin tidak larat untuk mengerjakan sawah kita. Baiklah, nanti pagi esok ibu akan berjumpa dengan Dato Lembaga Adat untuk mengajukan perkara ini.” Nurbaya hanya mengangguk dan melemparkan senyuman sinis. Jauh disudut fikiranya, dia telah mempunyai niat lain apabila sawah bendang itu dijual. Pada keesokan harinya, Wan Runduk bergegas ke rumah Dato Lembaga Adat. Setelah memberi salam, Wan Runduk segera naik ke beranda Rumah Dato Lembaga Adat beratap Minangkabau itu. “Ada hajat apa Wan Runduk datang ke teratak hamba pagi-pagi lagi ni?.

 

“Begini Dato hamba berhasrat untuk menjual tanah bendang hamba di hujung kampung ini. Hamba tidak larat untuk mengusahakannya” jelas Wan Runduk sambil menghirup secawan kopi panas yang berada di atas meja. “Pada pandangan hamba, mengikut sistem adat kita, tanah tersebut adalah tanah pusaka adat warisan keluarga tuan hamba. Agak mustahil jika tanah pusaka tersebut dijual kepada orang lain. Tanah pusaka itu hanya boleh diwarisi oleh waris wanita sahaja dalam keluarga tuan hamba mengikut pesaka bergilir dalam sistem Adat Perpatih. Wan Runduk terdiam mendengar penjelasan Dato Lembaga Adat. Kemudian berkata, “Hamba maklum Dato bahawa tanah bendang itu tanah pusaka adat, tetapi bagaimana jika hamba dan anak gadis hamba sudah tidak larat mengusahakannya lagi, suami hamba sudah tiada, Nurbaya pula masih belum berumah tangga, umur hamba pula semakin hari semakin lanjut dan tenaga semakin berkurang. Wan Runduk cuba menjelaskan kepada Dato’ Lembaga Adat tentang masalahnya. Hamba mengerti akan masalah tuan hamba, tapi apakah daya hamba, aturan adat kita telah menetapkan peraturanya bergitu. Ingatkah tuan hamba pepatah “biar mati anak, jangan mati adat” yang menjadi pegangan kita sejak zaman berzaman lagi.” Wan Runduk hanya terdiam, keputusan Dato Lembaga Adat itu tidak dapat disangkal lagi. Fikiran Wan Runduk buntu.

 

“Apakah yang harus aku katakan kepada Nurbaya kelak. Keputusan bahawa tanah bendang itu telah diputuskan mengikut sistem adat. Aku pasti Nurbaya akan mengamuk apabila mengetahuinya”.

 

Pada masa yang sama, Nurbaya telah mengadakan pertemuan dengan orang kaya itu untuk mengadakan perundingan tentang tanah bendang tersebut. “Hamba bersetuju untuk menjual tanah bendang itu tapi dengan satu syarat”. Nurbaya cuba menyakinkan orang kaya yang bukan orang semenda di kampung itu. “Apa syaratnya ? orang kaya itu menginginkan kepastian. Nurbaya berkata “Bunuh ibu hamba dan buang mayatnya di sebuah bukit di Ulu Sepri sebaik sahaja tuan hamba menyerahkan 200 ketul emas kepada hamba.”. Orang kaya tersebut mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan syarat yang dinyatakan itu.

 

Seterusnya, Nurbaya segera beredar menuju ke rumahnya. Wan Runduk juga pulang ke rumah dengan perasaan yang tidak tenteram. Sepanjang perjalanan. Wan Runduk hanya berfikir tentang apakah cara untuk menjelaskan kepada Nurbaya supaya anak kesayangannya itu tidak mengamuk. Wan Runduk sampai ke rumahnya apabila hari telah larut malam. Apabila sampai di rumah, Wan Runduk mendapati anaknya Nurbaya telah tidur dengan nyenyak.

 

Pada keesokkan paginya, seperti biasa Wan Runduk dan Nurbaya akan turun ke bendang. Apabila waktu tengahari menjelang tiba, kebiasaanya mereka berdua beranak ini akan pulang ke rumah. Namun, pada hari itu Wan Runduk mengajak anaknya untuk berehat di sebuah dangau yang terletak berhampiran dengan kawasan bendang mereka. “Mak mak. Nurbaya mendekati ibunya. “Apa kata Dato Lembaga Adat tentang tanah kita itu”. Nurbaya melanjutkan perbualannya. “emm, begini anakku. Ibu telah berjumpa dengan Dato Lembaga Adat tentang hal tanah bendang kita. Tanah bendang ini tidak boleh dijual kepada sesiapapun. Tanah itu adalah tanah pusaka, dan menyalahi hukum adat jika tanah itu dijual.”

 

Apabila mendengar kata-kata daripada Wan Runduk, Riak wajah Nurbaya berubah dengan serta merta. Dengan nada suara yang marah lalu Nurbaya membaling bekalan makanan yang dibawa oleh ibunya itu ke dalam sawah bendang. Seterusnya, Nurbaya menghampiri ibunya Wan Runduk lalu menarik rambut ibunya dengan kuat seraya berkata.

 

“Hei orang tua yang tak sedar dek untung. Aku tidak peduli apa yang Dato Lembaga Adat katakan. Aku mahu urusan tanah bendang ini selesai hari ini juga. Kau bukan tak tahu aku dah lama hidup susah”. Seterusnya, Nurbaya  dengan kejam mengheret ibunya turun daripada dangau itu untuk menuju ke rumah Dato Lembaga Adat.

 

Orang kampung yang masih mengerjakan sawah pada masa itu amat terkejut melihat Nurbaya mengheret ibunya di atas tanah lumpur bendang untuk menuju ke rumah Dato Lembaga Adat. Tubuh Wan Runduk penuh dengan luka. Wan Runduk merayu-rayu kepada anaknya Nurbaya. “Anakku Nurbaya. Janganlah kau seksa ibu begini. Kasihani ibu wahai anakku. Tidakkan kau sedar akulah orang yang membesarkan mu.”

 

“Ah… aku tidak peduli semua itu. Yang penting tanah bendang ini harus dijual. Dan selepas itu, riwayat hidupmu akan tamat juga”, kata Nurbaya dengan angkuh dan sombongnya.

 

Dalam keadaan tidak bermaya dan masih diseret oleh Nurbaya, Wan Runduk berkata. “Wahai tuhan Yang Maha Berkuasa. timpakan azab kepada anakku Nurbaya supaya dia sedar tentang perbuatannya kepada ibunya ini.” Dengan tidak semena-mena. Tiba-tiba langkah Nurbaya terhenti. Langit di angkasa bertukar gelap dan kilat sabung-menyabung. Burung-burung berterbangan melarikan diri. Orang ramai disekeliling bertempiaran dan terkejut dengan peristiwa yang berlaku. “Ya tuhan, apakah yang terjadi kepada tubuhku. Kelihatan kaki Nurbaya seolah-olah ditarik sesuatu ke dalam tanah. “Mak… Mak… Mak… tolong Nurbaya Mak. Semakin Nurbaya menjerit semakin cepat dirinya disedut oleh tanah bendang itu. Wan Runduk hanya terdiam melihat anaknya ditelan oleh tanah bendang itu. Sedikit demi sedikit tubuh Nurbaya tengelam ditelan tanah bendang itu. Akhirnya, hanya tengkuluk yang dipakai oleh Nurbaya sahaja yang kelihatan tinggal di atas tanah bendang itu. Oleh kerana hujan semakin lebat serta kilat sabung menyabung, kawasan tanah bendang tersebut bertukar menjadi danau. Sempena peristiwa tersebut, danau tersebut diberikan gelaran Danau Tengkuluk. Oleh kerana perubahan geografi dan bentuk muka bumi, kawasan danau tersebut menjadi kering. Kini kawasan tersebut menjadi ladang kelapa sawit bagi tujuan perniagaan.

 

 

 Cerita ini telah diterbitkan di ruang cerpen  Antologi Cerita Teladan, Puisi dan Cerpen Kanak-Kanak diselenggara oleh Hamidi Md Yudin Hlm 62 hingga 65

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

CERITA RAKYAT NEGERI PERAK DARUL RIDZWAN DAERAH PERAK TENGAH NAKHODA AJI DAN ASAL USUL TASIK KUBANG AJI

 

CERITA LAGENDA NAKHODA AJI

ASAL USUL TASIK KUBANG AJI

 

Lokasi: Kampung Tanjung Dedalu, Mukim Belanja

Daerah Perak Tengah

Negeri Perak Darul Ridzwan

 

oleh: Zulkifli bin Kamaruddin

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM

 

Tersebutlah sebuah kisah pada zaman dahulu seorang ibu tunggal bersama seorang anak lelaki tinggal di sebuah desa yang bernama Kampung Tanjung Dedalu, kampung ini terletak bersebelahan dengan Sungai Perak. Si ibu bernama Siti Nik manakala Si anak bernama Aji.

 

“Mak... Mak… apakah yang mak bawa pulang daripada pasar tadi” Tanya Aji kepada ibunya dengan wajah yang ceria. “Ibu bawakan Aji Ikan Loma dan Sayur Pucuk Manis untuk makan malam kita hari ini” balas Mak Siti Nik sambal menjuntaikan kaki dibawah tangga. “Wah sedap sungguh lauk kita malam ini ya mak” Aji membalas sambil mengambil bakul yang berisi bekalan yang dibawa oleh ibunya tadi”. Mak Siti Nik hanya mampu tersenyum apabila melihat Aji yang semakin hari semakin meningkat remaja. Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, akhirnya Aji menjadi seorang dewasa. Aji menjadi seorang lelaki yang sangat kacak dan tanpan sehingga menjadi bualan di seluruh pelusuk desa..

 

“Mak, sampai bila kita ingin hidup begini?. Aji sudah bosan asyik duduk di kampung ini. Pergi ke sawah dan berbendang…Bolehkah Aji ingin merantau mencari kerja di tempat lain. Manalah tahu boleh mengubah nasib kita” Kata Aji kepada ibunya.Pada masa itu, kebetulan terdapat sebuah kapal besar sedang berlabuh di Sungai Perak untuk mengisi keperluan.

 

“Mak… Mak… Aji ada berita gembira untuk mak.”. Mak Siti Nik terkejut dengan kemunculan Aji secara tiba-tiba. “Ya, anakku Aji. Berita apakah yang kamu ingin sampaikan kepada mak?” Aji dapat kerja di kapal itu.

 

 

Pada keesokkan harinya, Aji bersiap-siap untuk menuju ke kapal nakhoda itu. Sebelum meninggalkan ibunya, Aji memohon restu daripada Mak Siti Nik supaya sentiasa mendoakan keselamatannya semasa bekerja di kapal tersebut.

 

“Mak doakan keselamatan Aji ya mak. Nanti Aji pulang Aji akan bawa mak berpindah dari desa ini. Kita mulakan kehidupan baru”.

 

Mak Siti Nik hanya menganguk serta memeluk Aji dengan erat.

Apabila Aji sampai di kapal tersebut, Nakhoda itu menyambutnya dengan mesra. Aji telah ditugaskan menjadi pramusaji di bahagian dapur kapal. Selang beberapa hari Aji bekerja di atas kapal itu, nakhoda kapal itu ingin meneruskan pelayarannya ke negeri Siam. Maka sauh kapal pun diangkat dan layar pun dilabuhkan bagi meneruskan pelayaran. Sedikit demi sedikit kapal nakhoda meninggalkan muara Sungai Perak..

 

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun lamanya Aji meninggalkan ibunya. Sejak Aji tiada lagi di sisi Mak Siti Nik, kehidupan Mak Siti Nik tidak seceria dahulu. Mak Siti Nik sering jatuh sakit. Kadang-kala Mak Siti Nik sering termimpi-mimpikan anaknya akibat terlalu rindu yang amat. Di dalam tempoh pelayaran tersebut, Aji telah mempelajari pelbagai ilmu perkapalan, kelautan dan perniagaan bersama dengan nakhoda itu. Bermula bertugas sebagai seorang pramusaji di dapur kapal akhirnya Aji dinaikkan pangkat menjadi ketua anak-anak kapal. Sikapnya yang rajin serta jujur dan amanah dalam menjalankan tugas akhirnya mendapat pujian dan kepercayaan yang tinggi daripada nakhoda. Atas tanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan baik. Akhirnya, Aji dilantik menjadi nakhoda kapal.

 

Dengan takdir tuhan, akhirnya kapal Nakhoda Aji berlayar hingga sampai di muara Sungai Perak. Nakhoda Aji pada masa tersebut berasa hairan dengan kawasan pelabuhan yang disinggahinya pada masa ini.

 

“Hamba rasa macam serasi benar kawasan pelabuhan ini. Apakah nama tempat kita berlabuh ini?” tanya Nakhoda Aji kepada salah seorang anak kapalnya. Anak kapal itu pun lalu berkata “Tempat ini bernama Tanjung Dedalu Tuan Nakhoda”. Nakhoda Aji terdiam sebentar apabila mendengar kata-kata daripada anak kapalnya itu.

 

Perkhabaran berita kapal Nakhoda Aji berlabuh di muara Sungai Perak akhirnya sampai ke pengetahuan Mak Siti Nik. Mak Siti Nik pada masa itu tidak berapa sihat segera bersiap untuk menuju ke muara Sungai Perak untuk melihat siapakah nakhoda kapal itu. Apabila sampai di gigi air sungai, Mak Siti Nik cuba untuk melihat siapakah nakhoda kapal itu. Ketika Nakhoda Aji turun dari kapal menuju ke daratan, Mak Siti nik terkejut apabila menatap wajah nakhoda itu.

 

“Ya tuhanku, adakah tuan nakhoda ini anak kandungku yang hilang sekian lama”,

desus hati kecilnya.

 

            

Pada masa itu juga, Nakhoda Aji bersama anak-anak kapalnya sedang sibuk memunggah barang dagangan serta mengambil bekalan air dan bahan mentah untuk meneruskan pelayaran. Dalam kesesakan orang ramai di kawasan pelabuhan, Mak Kundur mengekori Nakhoda Aji bagi mendapatkan kepastian sama ada Nakhoda Aji anaknya atau tidak. Dengan takdir tuhan, apabila Nakhoda Aji sedang duduk di sebuah warung, Mak Siti Nik terlihat kesan parut yang terdapat disebelah tangan kanan Nakhoda Aji apabila Nakhoda Aji menyinsing lengan bajunya.

 

“Ya tuhanku, sesungguhnya adalah benar petunjuk daripada mu bahawa tuan nakhoda ini adalah anak kandungku yang hilang selama ini”. Lonjak hatinya dengan penuh kegembiraan. Sambil menadah tangan.

 

“Terima kasih ya tuhan kerana engkau telah menemukan anakku semula ke pangkuan aku”

 

Dengan langkah perlahan sambil membawa sebatang tongkat, Mak Siti Nik berjalan menuju ke arah Nakhoda Aji. Apabila sampai di meja Nakhoda Aji, Mak Siti Nik lalu berkata,

 

“Wahai tuan nakhoda yang budiman, adakah tuan nakhoda kenal siapakah hamba ini”.

 

Nakhoda Aji sangat terkejut dengan kemuculan wanita tua yang berbau busuk serta bertongkat itu. Nakhoda Aji melihat susuk tubuh wanita itu. Lalu berkata dalam hatinya.

 

“Adakah ini ibuku.”

 

Pada masa yang sama, semua anak-anak kapal serta orang ramai yang ada di warung itu sedang memerhati Nakhoda Aji dengan pandangan yang pelik. Lalu Nakhoda Aji pun berkata.

 

“Wahai tuan hamba. Siapakah gerangan menghampiri hamba di sini. Dan hamba tidak kenal siapakah tuan hamba”, balas Nakhoda Aji. Apabila dilihatnya riak wajah Nakhoda Aji kelihatan pelik, maka Mak Siti Nik pun berkata.

 

“Wahai anakku Aji. Tidakkah kau ingat ibumu yang pernah kau tinggalkan dulu untuk mencari kerja di atas kapal. Apakah kau lupa bahawa kau ingin membawa mak apabila kau berjaya nanti.” Jelas Mak Siti Nik.

 

Apabila mendengar kata-kata daripada Mak Siti Nik, riak wajah Nakhoda Aji berubah dengan serta merta. Manakala anak-anak kapal dan orang ramai disekeliling warung tersebut kelihatan pelik dan berasa hairan dengan kata-kata Mak Siti Nik. Dengan nada suara yang marah lalu Nakhoda Aji menghentakan tanganya di atas meja.

“Cis… orang tua tak sedar diri. Wajah yang hodoh, badan berbau, ada hati mengaku kau ibuku. Aku tidak mempunyai ibu di kawasan ini. Ibu dan bapaku telah lama meninggal dunia. Jika engkau mahu makan di warung ini silakan. aku sudi membayar. Tapi jika kau untuk berkata-kata perkara yang tidak masuk akal. Pergilah kau dari sini.

 

Mak Siti Nik sangat terkejut dan sedih dengan kata-kata yang dikatakan oleh Nakhoda Aji. Dengan linangan air mata Mak Siti Nik berkata.

 

“Ya tuhan. Tergamak kau berkata begini kepada ibu yang membesarkan mu dengan penuh dengan penat lelah selepas kematian ayahmu. Akulah Mak Siti Nik yang melahirkan dan membesarkan mu. Tidakkah kau ingat wahai Aji. Jika kau inginkan kebenaran cuba engkau lihat parut yang ada di lengan kanan tanganmu. Parut itu adalah tanda.

 

Dengan perasaan malu beserta marah dengan kata-kata Mak Siti Nik, Nakhoda Aji bangun lalu mengeluarkan keris yang terselit dipinggangnya. Lalu berkata.

 

“Jika kau tidak mahu nyawamu ku tamatkan dihujung keris ini, lebih baik engkau berambus dari sini”.

 

Apabila mendengar kata-kata Nakhoda Aji, Mak Siti Nik segera mara ke arah Nakhoda Aji seraya berkata.

 

“Tikamlah ibumu ini wahai Aji. Ibu rela mati di tangan mu ini. Orang ramai di sini menjadi saksi kematianku jika aku berdusta bahawa engkau adalah anakku.”

 

Kesabaran Nakhoda Aji tidak dapat dibendung lagi. Kata-kata Mak Siti Nik tidak diendahkannya. Lalu Nakhoda Aji cuba untuk menikam Mak Siti Nik dengan kerisnya. Sewaktu Nakhoda Aji ingin menikam ibunya. Tiba-tiba tangannya menjadi kaku. Langit di angkasa bertukar gelap dan kilat sabung-menyabung. Permukaan air muara Sungai Perak yang tenang tiba-tiba bergelora. Orang ramai disekeliling bertempiaran dan terkejut dengan peristiwa yang berlaku. Tubuh Nakhoda Aji tiba-tiba menjadi kaku. Akhirnya, Nakhoda Aji rebah ke bumi. Apabila terlihat Nakhoda Aji rebah, beberapa orang anak kapal segera membawa Nakhoda Aji ke dalam kapal. Dalam keadaan kelam-kabut, kelasi kapal segera menarik sauh untuk belayar. Apabila kapal Nakhoda Aji ingin berlayar menuju ke tengah muara sungai tiba-tiba kapal tersebut pecah dan sedikit demi sedikit karam ke dalam Sungai Perak. Semasa kapal tersebut mulai karam, orang ramai mendengar suara meminta tolong serta teriakan meminta maaf kepada Mak Siti Nik. Suara itu dipercayai daripada Nakhoda Aji yang menderhaka kepada ibunya.

 

Sebaik sahaja kapal Nakhoda Aji karam, Mak Siti Nik rebah ke bumi dan meninggal dunia. Jasad Mak Siti Nik tiba-tiba bertukar menjadi sebatang pohon Ara dan tumbuh di tebing sungai itu

 

 Cerita ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

 Dalam ruangan Cerita rakyat Majalah Dewan Pelajar Hlm 40-41 Dewan Pelajar Bil 11 tahun 2020

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

CERITA RAKYAT NEGERI SEMBILAN DAERAH SERI MENANTI KUALA PILAH SANG KERBAU DAN BADAK MENJADI BATU

 

CERITA RAKYAT

PERGADUHAN YANG MEMBAWA PADAH

KERBAU DAN BADAK MENJADI BATU

Olahan Oleh

Zulkifli Bin Kamaruddin ( Cikgu Joe )

 

         Kononya disebuah desa di Seri Menanti, Kuala Pilah di Negeri Sembilan Darul Khusus. Terdapat sebuah hutan tebal yang didiami oleh sekumpulan badak. Berhampiran dengan hutan tersebut juga terdapat sebuah kandang kerbau milik orang kampung. Tersebutlah kisah badak dan kerbau ini merupakan sahabat baik pada masa itu. Setiap hari badak akan datang menziarahi kerbau di kandangnya. Oleh kerana mereka berkawan baik terlalu lama, segala aktiviti dilakukan bersama-sama. Persahabatan kerbau dan badak umpama air dicincang tidak akan putus.

Sekiranya kerbau tidak sihat, sang badak akan datang membawa makanan tambahan daripada hutan untuk kerbau makan. Jika sang badak pula tidak sihat, maka sang kerbau akan membawa makanan yang diberikan oleh tuannya untuk sang badak. Sifat setiakawan sang badak dan sang kerbau ini sangat dikagumi oleh seluruh haiwan yang ada disitu. Maka, pada satu hari Seri Menanti dilanda kemarau yang amat lama. Habis kolam-kolam air dan anak-anak sungai menjadi kering. Maka sang kerbau dan sang badak mempunyai masalah untuk mereka berkubang seperti kebiasaan kehidupan mereka.

Maka ditakdirkan tuhan, hanya sebatang sungai sahaja yang terdapat di hujung Kampung Buyau yang masih mengalirkan airnya. Air sungai disitu sangat sejuk dan jernih serta banyak ikan-ikan bermain-main didasar sungai tersebut. Namun, sungai itu amat jarang dikunjungi oleh penduduk disitu mahupun haiwan-haiwan. Mengikut bualan orang kampung, sungai tersebut dijaga oleh puteri bunian. Oleh kerana itu airnya tidak pernah kering dan banyak ikan-ikan yang ada disitu.

Oleh kerana cuaca kemarau yang masih berpanjangan, maka sang kerbau berhasrat untuk membawa sang badak untuk berkubang disana. Lalu sang badak segera menemui sang kerbau di kandangnya. “ Wahai sahabatku badak.. apa kata kita ke sungai untuk mandi. Cuaca pun panas terik sangat hari ini. Apa kata kita pergi berkubang di Sungai Jumbang di hulu Kampung Merual. Disana katanya airnya jernih dan sejuk. Bolehlah kita berkubang lebih lama sikit disana ha.ha.ha” Kata sang kerbau sambil ketawa. Apabila didengar oleh sang badak cadangan sang kerbau untuk berkubang di Sungai Jumbang, reaksi sang badak berubah dengan raup wajahnya seperti orang ketakutan. Lalu sang badak pun berkata “ Wahai kerbau, tidakkah engkau tahu bahawa Sungai Jumbang itu dijaga oleh puteri bunian ?.Tiada siapa pun yang berani ke sana. Haiwan-haiwan di hutan juga sangat takut untuk datang ke sungai itu”. Jelas sang badak kepada kerbau.

 Maka sang kerbau pun berkata “ Wahai badak. Apakah yang perlu kita risaukan, kita hanya pergi untuk berkubang sahaja, bukanya kita mempunyai niat lain.” Kata sang kerbau memujuk sang badak. Lalu sang badak pun berkata “ Ya sahabatku sang kerbau, aku tahu niat kita untuk berkubang sahaja, tapi aku risau kerana kita tidak pernah sampai dikawasan itu. Aku dengar juga barang siapa yang berniat tidak elok, maka akan mendapat musibah daripada puteri bunian yang menjaga kawasan sungai itu.” Kata sang badak kepada sang kerbau. Apabila sang kerbau mendengar penjelasan sang badak itu lalu sang kerbau pun berkata “ Mengapa kau bergitu risau sangat badak. Kita kan haiwan yang besar dan gagah. Jika ada apa-apa yang berlaku di sana, kita lawan secara bersama-sama. Aku tidak pernah pun berasa gentar dengan apa jua yang datang melawan ku. Tandukku yang kuat dan tajam ini menjadi perisai untuk membunuh setiap musuh yang datang melawanku.” Kata sang kerbau dengan bangganya dihadapan sang badak.

Sang badak menjadi serba salah untuk menolak cadangan sang kerbau. Demi hubungan persahabatanya yang lama, akhirnya sang badak besetuju dengan cadangan sang kerbau untuk berkubang di Sungai Jumbang. Seterusnya,sang  kerbau dan sang badak meneruskan langkah menerusi denai-denai kecil menuju ke sana. Sepanjang perjalanan, sang kerbau dan sang badak melalui kebun-kebun kecil yang mempunyai banyak pokok buah-buahan.

“Wah..badak.lihat di kiri dan kanan kita. Banyaknya pokok buah-buahan. Ada pokok pisang,manggis,betik dan macam-macam lagi lah.” Kata badak dengan perasaan yang teruja. Lalu sang kerbau pun berkata “ Ya betul badak..Kenyanglah perut kita nanti sepanjang kita berjalan ke sungai hahaha.” Sang Badak dan  sang kerbau ketawa bersama-sama. Maka sang badak dan sang kerbau pun berhenti seketika dibawah sebatang pokok mempelam. Kebetulan pokok mempelan tersebut sangat rendang dan lebat buahnya. Apabila dilihat oleh sang kerbau buah mempelam itu sangat banyak dan elok buahnya, maka timbul keinginan dihati sang kerbau untuk mengambil buah mempelam itu.

“ Apa kata kita ambil buah mempelam ini. Perut aku pun dah lapar ni.” Kata sang kerbau kepada sang badak. Lalu sang kerbau pun menggunakan tanduknya untuk mengait buah mempelam yang ranum dan berwarna keemas-emasan itu. Apabila  buah mempelam itu berjaya diperolehinya, sang kerbau dan sang badak pun bersedia untuk menikmatinya secara bersama-sama. Secara tiba-tiba mencul seorang wanita tua bertongkat dengan raup wajahnya yang berkedut seribu. Wanita tua itu pun melihat sang badak dan sang kerbau dengan pandangan yang tajam lalu berkata “ Wahai sang badak dan sang kerbau. Adakah kamu telah meminta izin untuk mengambi buah-buahan yang ada di kawasan ini?. Sang kerbau dan sang badak berasa terkejut sehingga terjatuh buah mempelam itu ke tanah apabila wanita tua bertongkat itu muncul secara tiba-tiba dihadapan mereka.

Lalu sang kerbau pun berkata “ Wahai nenek yang budiman.Ya aku yang mengambil buah mempelam itu. Tapi aku berasa lapar, lagi pun buah-buahan di sini sangat banyak dan tiada pun orang yang mengambilnya. Apabila mendengar kata daripada sang kerbau itu, maka wanita tua itu pun berkata “ Ya memang benar apa yang engkau kata kan itu. Tidak ada sesiapa yang berani mengambil buah-buahan di sini melainkan kamu berdua.” Wanita tua bertongkat itu perlahan-lahan mendekati sang kerbau dan sang badak lalu berkata “ Tidakkah perbuatan engkau mengambil buah mempelam ini satu tindakan yang salah ?. Sepatutnya engkau berdua meminta izin orang yang menjaga disini.” Jelingan tajam wanita tua bertongkat itu menjadikan sang badak menjadi kecut perut dan takut yang teramat.

Maka, apabila didengar kata-kata wanita tua bertongkat itu,sang kerbau pun berkata dengan angkuhnya “ Wahai nenek tua yang tak sedar diri. Mengapa pula aku harus meminta izin untuk mengambil buah-buahan disini. Pokok-pokok buah ini pun tumbuh dengan sendiri. Pada pendapat aku, sesiapa sahaja tidak kira manusia atau haiwan boleh sahaja makan buah-buahan yang ada disini tanpa perlu kebenaran.” Sang kerbau mula menunjukkan keegoaanya tanpa ada rasa hormat kepada wanita tua bertongkat itu. Manakala sang badak hanya terdiam dan melihat sahaja sang kerbau. Jauh disudut hatinya, memang ada kebenaran apa yang dikatakan oleh wanita tua bertongkat itu. Namun, oleh kerana terlalu takut, sang badak hanya mampu mendiamkan diri.

Apabila mendengar kata-kata angkuh sang kerbau. Maka wanita tua bertongkat itu pun berkata. “ Mengambil hak orang lain sama ertinya dengan mencuri. Tidakkah engkau takut musibah dan bala yang akan menimpa jika engkau mengambil barang yang bukan kepunyaan kau.” Wanita tua bertongkat meninggikan suaranya memberi amaran dan peringatan kepada sang kerbau. Maka, disahut oleh sang kerbau “ Aku tidak takut dengan sesiapa pun.Aku bersedia bertarung dengan sesiapa pun. Sahabatku sang badak juga bersedia bersama untuk melawan sesiapa sahaja yang berani menentang kami berdua.

Apabila mendengar kata-kata sang kerbau itu, maka wanita tua bertongkat itupun hanya diam dan pelahan-lahan beredar meninggalkan sang kerbau dan sang badak. Wanita tua bertongkat itu hilang daripada pandangan sebaik sahaja memasuki rumpun buluh yang berdekatan dengan pokok buah-buahan disitu. Sang kerbau pun berkata kepada sang badak “ Tak guna punya nenek tua, habis hilang keinginan ku untuk makan buah mempelam tadi.” Sang badak tidak berkata apa-apa. Sebaliknya mengajak sang kerbau meneruskan perjalanan ke Sungai  Jumbang.

Apabila sampai di Sungai Jumbang, sang kerbau dan sang badak berasa sangat gembira apabila melihat kejernihan dan ketenangan air sungai itu. Lalu kedua-dua haiwan ini melompat ke dasar sungai dan berkubang dengan gembiranya. Suasana di kawasan Sungai Jumbang sangat sunyi sepi dan tiada kelibat manusia atau haiwan yang singgah di situ. Apabila sang kerbau dan sang badak puas mandi dan berkubang di sungai itu, maka mereka berdua berhasrat untuk pulang. Sewaktu perjalanan pulang sang kerbau dan sang badak mengikuti jalan yang sama semasa mereka berdua menuju ke sungai tersebut. Sang kerbau dan sang badak meneruskan perjalanan mereka untuk pulang ke tempat masing-masing. Namun sang kerbau dan sang badak berasa hairan kerana mereka masih melalui jalan yang sama berulang kali. Cuaca dan keadaan pada masa itu juga hampir gelap.

Akibat kepenatan serta tidak menemui jalan keluar untuk pulang, maka sang kerbau dan sang badak membuat keputusan untuk berehat sebentar dibawah sebatang pokok ara di satu kawasan tanah lapang. Sewaktu sang kerbau berehat. Sang badak pun berkata “ Apalah nasib kita ini sahabatku kerbau. Hari sudah hampir malam, tapi kita belum keluar lagi dari tempat ini. Bukan kah aku sudah katakan pada tengahari tadi supaya kita tidak pergi ke sini, tapi engkau tidak mahu mendengar kata-kataku” Kata sang badak dengan perasaan sedih. Apabila sang kerbau mendengar kata-kata sang badak itu, lalu sang kerbau pun berkata “ Tapi engkau juga bersetuju dengan ku untuk pergi ke sini bukan”. Maka sang badak pun berkata “ Ya.aku terpaksa rela untuk tidak mahu bergaduh dengan kamu kerbau. Jika aku tahu nasibku jadi bergini, tidakkan akan aku ikuti kemahuan engkau untuk ke tempat puaka ini.

Kata-kata sang badak itu benar-benar mengguris perasaan sang kerbau. Lalu sang kerbau pun berkata “ Kau sepatutnya memikirkan cara untuk keluar dari sini, bukanya menyalahkan aku. Aku juga tidak terfikir jadi bergini. Jika aku tahu, tidak akan aku datang ke sini.” Kata sang kerbau dalam keadaan sedih. Lalu sang badak pun berkata “ Ya, memang kau harus dipersalahkan dalam hal ini. Aku sudah katakan supaya tidak ke tempat ini, tapi kau sangat degil. Kemudian kau pula mencuri dan makan buah disini tanpa kebenaran. Sekarang, inilah akibatnya.Kau harus dipersalahkan jika apa-apa berlaku.” Kata sang badak dengan nada yang tinggi kerana terlalu marah dengan sahabatnya itu.

Apabila didengar oleh sang kerbau kata-kata sang badak itu, maka sang kerbau pun menjadi berang dan datang menghampiri badak yang sedang duduk di bawah pokok ara itu lalu berkata “ Kau ni badak memang tak pandai mengenang budi dan tak sedak dek untung. Aku mengajak kau ke sini untuk mandi manda kerana cuaca panas, kalau aku tak bawa kau ke sini telah lama badan kau yang putih itu menjadi hitam legam seperti punggung kuali dek kerana cuaca yang panas. Tidakkah kau sedar wahai badak”.

Lalu apabila didengar kata-kata sang kerbau tersebut, maka sang badak pun menjadi berang dan datang menghampiri sang kerbau dengan sumbunya yang tajam dihalakan di depan muka sang kerbau sambil berkata “ Kau memang dah melampau kerbau. Sudahlah berbuat salah, tetapi tak mahu mengaku pula. Berani sungguh kau mengata aku sedemikian rupa. Jika kau berani , ayuh….kita beradu tenaga. Kita lihat siapa yang lebih kuat serta berjaya keluar dari tempat puaka ini”. Sang badak mencabar sang kerbau.

Maka apabila didengar oleh sang kerbau, maka sang kerbau pun tidak mahu mengalah. Dengan tanduknya yang tajam berkilau itu, sang kerbau pun bertarung dengan sang badak. Apabila kedua-dua haiwan ini bertarung antara satu sama lain, tiba-tiba hujan turun dengan lebat sertai dengan kilat sabung menyabung di angkasa. Tanpa disedari muncul puteri bunian yang cantik rupawan di tengah-tengah tempat pertarungan badak dan kerbau itu. Maka apabila dilihat oleh puteri bunian tersebut tentang pertarungan badak dengan kerbau itu maka puteri bunian pun  berkata “ Wahai kerbau dan badak. Mengapakah kalian bergaduh antara satu sama lain?. Maka dilihat oleh sang badak dan sang kerbau akan kehadiran puteri bunian itu maka kedua-dua haiwan ini berhenti seketika daripada pertarungan. Lalu sang kerbau pun berkata “ Wahai tuan puteri, patik rasa tuan puteri tidak perlu masuk campur dalam hal kami.” Kata sang kerbau dengan nada yang sombong. Kemudian sang badak pula berkata “ Ya betul kata kerbau. Kami berdua beradu tenaga untuk melihat siapa yang berjaya tewas serta meninggalkan tempat ini.

Lalu apabila didengar oleh tuan puteri bunian tentang kata-kata sang badak dan sang kerbau tersebut, maka tuan puteri bunian pun berkata “ Wahai badak dan kerbau yang sombong dan angkuh. Beta tidak pernah jumpa binatang seperti kalian yang berani mencabar serta menceroboh kawasan jagaan beta.” Kata tuan puteri bunian itu dengan nada dan perasaan yang murka. Apabila sang kerbau dan sang badak mendengar kata-kata puteri bunian tersebut, maka sang kerbau dan sang badak pun berkata “ Kami tidak takut dengan sesiapapun. Lihat tubuh kami yang kuat serta tanduk kami yang kuat boleh memusnahkan sesiapa sahaja yang menentang kami.”

Kata-kata yang dikata oleh sang kerbau dan sang badak benar-benar menambah kermukaan tuan puteri bunian itu. Maka tuan puteri bunian pun berkata “ Baiklah sang kerbau dan sang badak. Beta amat murka kepada tuan hamba berdua. Sebagai hukuman kepada tuan hamba berdua yang menceroboh ke kawasan beta, tuan hamba berdua akan menjadi batu buat selama-lamanya.

Sebaik sahaja tuan puteri bunian bertitah sedemikian, tiba-tiba air Sungai Jumbang bergelora dengan deras. Angin tidak semena-mena bertiup dengan kencang disertai dengan halilintar sabung mennyabung di langit. Sang kerbau dan sang badak berpandangan sesama sendiri. Tiba-tiba tubuh kedua-dua haiwan tersebut kaku dan mengeras. Lalu sang kerbau pun berkata “ Ya sahabatkku sang badak. Apakah yang terjadi kepada tubuh kita ini, tidak boleh bergerak lagi.” Maka sang badak pun berkata “ Wahai kerbau tubuh aku juga tidak boleh bergerak juga.” Maka sedikit demi sedikit tubuh kedua-dua haiwan ini bertukar menjadi sebuah batu yang menyerupai rupa bentuk seekor kerbau dan juga seekor badak. Selepas kedua-dua binatang ini menjadi batu, maka tuan puteri bunian itu menghilangkan dirinya. Sehingga kini kedua-dua batu ini dapat dilihat di Kampung Juar dan Kampung Buyau Kanan berdekatan dengan istana lama Seri Menanti di daerah Kuala Pilah di Negeri Sembilan Darul Khusus.



Cerita ini telah disiarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

Ruangan Cerita Rakyat Dewan Pelajar 2020 Keluaran Mac Hlm 40 hingga 41