CERITA RAKYAT PERJUANGAN ANAK RAJA BERUANG
Diolah dan diceritakan semula oleh : Zulkifli bin Kamaruddin 2026
Tersebutlah kisah pada zaman dahulu Sultan Johor dan Permaisuri baginda telah lama mendirikan rumah tangga, tetapi baginda masih belum dikurniakan cahaya mata. Dikhabarkan bahawa baginda suami isteri setiap malam berdoa kepada tuhan agar dikurniakan seorang putera yang dapat meneruskan pemerintahan baginda pada satu masa nanti.
" Ya Tuhanku, kurniakan beta seorang putera yang dapat beta serahkan kerajaan ini kepadanya." Kata Tuanku Sultan ketika menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya Tuanku Sultan dan permaisuri baginda berikhtiar habis-habisan untuk memperolehi zuriat bagi meneruskan legasi pemerintahan baginda di Negeri Johor ini.
Maka pada satu hari, ketika Tuanku Sultan dan permaisuri sedang beristirahat di kamar beradu baginda, tiba-tiba seorang pengawal istana datang mempersembahkan khabar bahawa ada seorang nenek kebayan yang katanya berasal dari Negeri Indrapura ingin mengadap Tuanku Sultan dan permaisuri di balairong istana.
" Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Adapun patik telah mendapat berita bahawa seorang nenek kebayan ingin mengadap Duli Tuanku berdua. Patik juga kurang pasti apakah gerangan hajat yang ingin disampaikan oleh nenek kebayan itu."
Setelah mendengar berita yang disembahkan oleh pengawal itu, maka Tuanku Sultan segera menitahkan pegawai supaya nenek kebayan itu dapat menunggu keberangkatan baginda beberapa ketika.
Apabila Tuanku Sultan dan permaisuri berangkat ke balairong, baginda terus berjumpa dengan nenek kebayan serta segera bertitah :
" Wahai nenek yang beta hormati, apakah hajat nenek untuk bertemu beta dan permaisuri?
Lalu nenek kebayan itu tersenyum sambil melihat wajah baginda suami isteri serta berkata :
" Ampun kan nenek wahai Tuanku dan Permaisuri. Hajat nenek kemari sebenarnya ingin menyampaikan satu berita kepada Tuanku dan permaisuri. Nenek tahu bahawa Tuanku dan Permaisuri teringin untuk mendapat seorang putera untuk takhta kerajaan. Adapun nenek ingin menyampaikan satu berita buat Tuanku dan Permaisuri bahawa pada petang esok, segeralah Tuanku berdua berangkat ke kaki Gunung Banang. Tuanku berdua masuklah ke guanya. Seorang bayi lelaki akan tersedia disebalik celahan batu gua itu.
Sebaik sahaja nenek kebayan itu berkata, secara tiba-tiba nenek kebayan itu ghaib daripada pandangan Tuanku dan permaisuri. Baginda berdua terkejut dengan kejadian itu.
Pada sebelah malam, ketika Tuanku Sultan beradu di kamar, baginda telah mendapat mimpi. Dalam mimpi itu, muncul nenek kebayan yang baginda bertemu pada siang tadi. Dalam mimpi itu nenek kebayan telah berpesan kepada Tuanku Sultan :
" Wahai Tuanku Sultan Yang Bijak Bestari
Perliharalah anak ini seperti anak sendiri
Jangan sesekali Tuanku sakiti
Anak ini penyelamat negeri yang abadi.
Tiba-tiba Tuanku Sultan tersedar dari mimpinya itu. Baginda langsung Bangun dan segera bertemu permaisuri. Seterusnya, baginda suami isteri bersiap untuk berangkat ke kaki Gunung Banang. Sebelum berangkat, permaisuri mempersiap peralatan dan sedikit makanan untuk dibawa sepanjang perjalanan.
Perjalanan baginda hanya berdua sahaja tanpa diketahui oleh sekalian isi istana. Maka dengan izin tuhan, berangkatlah baginda suami isteri menuju kaki Gunung Banang.
Dengan takdir tuhan, setelah baginda suami isteri hampir seharian berjalan, maka baginda berdua sampai dihujung kaki Gunung Banang. Dari jauh kelihatan ada sebuah gua disebalik rumpun pokok-pokok buluh disitu.
" Mungkin inilah gua yang dikhabarkan oleh nenek kebayan itu tempoh hari. Maka Tuanku Sultan dengan segera menarik tangan permaisuri baginda untuk masuk ke dalam gua itu.
Dalam hati, baginda berasa sangat gembira kerana hajat baginda berdua ingin mendapat putera akhirnya tercapai jua. Apabila telah hampir ke pintu gua, tiba-tiba baginda berdua terdengar bunyi suara bayi menangis.
Maka, baginda berdua terus mencari dimanakah datangnya bunyi suara bayi menangis itu. Akhirnya dengan kuasa tuhan, baginda bertemu dengan seorang bayi lelaki yang siap berbedung dengan sehelai kain batik. Permaisuri dengan perasaan yang gembira segera menatang bayi tersebut.
Apabila baginda permaisuri ingin menatap wajah bayi tersebut, baginda terus terdiam dan tidak berkata apa-apa. Pada waktu itu juga baginda Tuanku Sultan berasa hairan dengan sikap permaisuri yang bermuram seketika sebaik sahaja melihat bayi itu. Maka Tuanku Sultan bertitah kepada permaisuri baginda:
" Wahai adindaku permaisuri, apakah gerangan dinda tiba-tiba bermuram duka.
Lalu Tuanku Permaisuri pun mengangkat sembah lalu berkata :
" Wahai kekandaku Tuanku Sultan, cubalah kekanda tatap wajah bayi ini seketika.
Lalu, tanpa membuang masa, Tuanku Sultan segera melihat wajah bayi itu. Sebaik sahaja Tuanku Sultan menatap wajah itu baginda terdiam seketika dan seterusnya seraya bertitah :
" Wahai adindaku permaisuri, kekanda tiada halnya untuk mengambil bayi ini sebagai putera kita. Lagi pun nenek kebayan tempoh hari sudah mengatakan bahawa walau keadaan apa bayi ini, kita harus menerima dan menjaganya. Kanda yakin. Mungkin ada hikmat yang tersembunyi mengapa nenek kebayan meminta kita menjadikan anak ini sebagai putera kerajaan kita disuatu masa.
Apabila Tuanku Permaisuri mendengar kata-kata daripada Tuanku Sultan, wajah permaisuri menjadi ceria lalu berkata :
" Wahai kekanda yang dicintai. Jika benar apa yang kekanda katakan, Adinda juga berpendirian yang sama. Walaupun bayi ini separuh manusia, separuh beruang. Adinda berjanji akan menjadi bonda yang terbaik kepada anak ini, sehingga lah Adinda mangkat dari dunia ini.
Setelah baginda berdua, memeterai janji, maka, bayi tersebut segera ditatang baginda dan dibawa menuju ke istana. Sebaik sahaja sampai di istana, Tuanku Sultan segera mengarahkan dayang-dayang mempersiap satu bilik peraduan khas untuk menempatkan bakal putera kerajaan.
Mengikut kisah , putera beruang itu telah dijaga dengan penuh kasih sayang oleh baginda Sultan dan Permaisuri. Baginda berdua menjaga putera beruang itu umpama menatang minyak yang penuh. Namun, baginda hanya membenarkan putera beruang itu hanya berada di istana dan tidak dibenarkan untuk ke luar kota.
Seiring dengan usia putera beruang, segala bentuk ilmu pengetahuan sebagai seorang putera kerajaan telah diajar kepada Putera Beruang. Putera Beruang juga digambarkan sebagai anak yang baik dan mendengar segala nasihat dan tunjuk ajar daripada ayahanda dan bonda.Tidak sesekali putera beruang membantah atau menderhaka kepada ayahanda dan bonda.
Sesungguhnya kehidupan putera beruang disamping ayahanda dan bondanya sangat gembira dan penuh bahagia, Namun, hari berganti hari, bulan berganti bulan , tahun berganti tahun, putera raja beruang telah meningkat dewasa. Pada masa itu juga Tuanku Sultan dan permaisuri juga sudah meniti usia tua dan kadang kala baginda jatuh gering sewaktu memerintah negeri.
Maka pada waktu petang baginda Tuanku Sultan dan Permaisuri telah memanggil putera beruang untuk mengadap baginda berdua. Sewaktu berada di kamar mengadap , baginda Tuanku Sultan telah bertitah kepada Putera Beruang:
" Wahai anakanda ku, usia mu telah mencapai dewasa. Telah tiba masanya untuk ayahanda menyerahkan takhta ini kepada anakanda untuk anakanda perintah, ayahanda dan bonda tidak segagah lagi untuk memerintah negeri ini. Esok semasa hari ulangtahun keputeraan ayahanda nanti , akan ayahanda perkenalkan anakanda kepada pegawai negeri serta rakyat jelata negeri ini,"
Setelah mendengar titah daripada ayahandanya itu, maka Putera Beruang pun mengangkat sembah lalu berkata :
" Ampun Tuanku Ayahanda beribu-ribu ampun
Sekiranya itulah hajat ayahanda, anakanda sedia menerimanya.
Maka, pada keesokannya balairong istana sangat ramai dengan tetamu yang hadir. Setelah Baginda Sultan menyampaikan titah, maka baginda telah mengumumkan bahawa baginda akan mengundur diri sebagai raja dan akan menyerahkan takhta kerajaan kepada putera baginda.
" Wahai Sekalian rakyat jelataku yang hadir. Beta ingin mengundurkan diri daripada memerintah kerana usia beta sudah tua. Maka dengan ini, beta akan menyerahkan takhta kerajaan beta ini kepada putera beta."
Pada masa itu semua pemimpin negeri dan rakyat jelata yang hadir pada ketika berasa terkejut dan hairan. Ada antara mereka yang berpandangan sesama sendiri sebaik sahaja mendengar titah pengumuman daripada Baginda Sultan. Lalu, Bendahara segera mengangkat sembah lalu berkata :
" Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Pada hemat patik, Tuanku tidak mempunyai putera untuk diwariskan takhta kerajaan ini, jika tidak keberatan bolehkah patik dan seluruh sekalian hamba rakyat tahu siapakah putera yang Tuanku ingin serahkan takhta itu."
Maka apabila didengar oleh Baginda Sultan, maka Baginda Sultan segera memanggil putera Beruang untuk masuk mengadap dan memperkenalkan kepada seluruh pemimpin dan rakyat jelata negeri baginda. Sejurus kemudian, maka keluarlah Putera Beruang ke atas singgahsana baginda Sultan.
Sebaik sahaja Putera Beruang muncul, semua rakyat jelata dan pemimpin negeri menjadi terkejut dan ada yang takut serta lari meninggalkan balairong istana, ada pula yang memanggil Putera Beruang dengan panggilan raksasa dan hantu. Pemimpin negeri yang ada pada masa itu juga turut berlari ketakutan dan juga jatuh pensan setelah menatap wajah Putera Beruang.
Apabila Putera Beruang melihat keadaan sedemikian, maka Putera Beruang terus melarikan diri ke kamar peraduan baginda. Selepas itu, Baginda Sultan dan Permaisuri segera ke kamar dan menemui Putera Beruang lalu segera memujuknya.
Lalu Tuanku Permaisuri pun berkata :
" Wahai anakanda yang bonda sayangi, usahlah anakanda berkecil hati dengan apa yang terjadi tadi, mungkin seluruh negeri tidak pernah melihat anakanda sebegini."
Maka Tuanku Sultan juga bertitah:
" Wahai anakanda, ayahanda dan bonda memohon maaf kerana melarang dan merahsiakan anakanda daripada seluruh rakyat di negeri ayahanda. Tetapi ketahuilah bahawa rakyat dan negeri akan berada dibawah tanggungjawab anakanda pada satu masa nanti. Maafkan mereka kerana ada yang menguris perasaan mu. Sesungguhnya hamba rakyat tidak tahu bagaimana penat lelah ayahanda dan bonda untuk menyelamatkan anakanda sewaktu kecil yang berada di sebuah gua di kaki Gunung Banang.
Setelah Putera Beruang mendengar kata-kata nasihat dan cerita sebenar asal usulnya. Putera Beruang dapat menerima kenyataan bahawa baginda hanya anakanda angkat kepada ayahanda dan bonda kepada negeri ini.
Jauh disudut hati Putera Beruang, baginda akan menjunjung amanah sebagai pemerintah pada satu masa nanti. Oleh itu, Putera Beruang harus segera untuk mendekatkan diri dengan rakyat baginda walaupun baginda sedar bahawa diri baginda tidak sempurna.
Sejak peristiwa itu, Putera Beruang telah mula berani untuk keluar ke kota, tetapi malangnya apabila, Putera Beruang berjalan-jalan menuju ke kota, semua rakyat jelata melarikan diri, mengherdik fizikal Putera Beruang , malah ada melemparkan batu dan menyimbah air kepada Putera Beruang. Namun, baginda tidak berkecil hati malah terus berbuat baik dan kebajikan kepada seluruh isi negeri.
Maka telah datang satu ketika yang amat menakutkan bahawa seekor naga yang bernama Naga Seri Rentaka yang berasal dari Tasik Tanjung Pura ingin datang dan menyerang negeri baginda. Sebaik sahaja berita itu sampai ke pengetahuan pemimpin negeri dan rakyat jelata, maka seluruh isi negeri menjadi gegak-gempita dan perasaan takut mula menyelebungi sekalian isi negeri.
Pada masa itu juga, ketika Putera Beruang beradu di kamar baginda, tiba-tiba baginda bermimpi. Diceritakan bahawa sekiranya Putera Beruang ingin menjadi manusia yang sempurna, baginda harus menewaskan Naga Seri Rentaka serta mengambil batu permata zambrud yang ada di tengah-tengah dahi naga itu.
Dalam mimpi baginda seorang nenek kebayan muncul dan berkata:
" Wahai Putera Beruang, jika kamu ingin menjadi manusia yang sempurna, hendaklah kamu menewaskan Seri Rentaka, setelah tewasnya Seri Rentaka, maka ambilah batu zamrud itu maka kalungkan lah batu itu dileher mu . Nescaya rupa paras mu serta segala sumpahan akan lenyap di dunia ini.
Setelah mimpi itu, Putera beruang tersedar, pada masa itu suasana menjadi kelam kabut. Kendengaran dari luar kota seluruh rakyat lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri dari serangan Seri Rentaka. Pada masa itu, langit hitam dan kilat sabung-menyabung di angkasa.
Maka diketahuilah seluruh isi negeri bahawa Seri Rentaka telah berada di negeri ini. Sebagai seorang putera kerajaan yang telah diasuh dengan ilmu pertahanan diri, Putera Beruang tidak berasa gentar. Sebaliknya baginda berfikir bagaimanakah cara untuk menewaskan Seri Rentaka dan mendapatkan kalung batu zamrud itu,
Maka, dengan tidak semena-mena. Nenek Kebayan telah muncul di tengah istana sambil membawa tombak sakti dan berkata kepada Putera Beruang:
" Wahai Putera Beruang . Ambilah tombak sakti ini. Gunakan lah senjata ini untuk menentang Seri Rentaka." Sejurus kemudian, Tombak Sakti itu tiba-tiba berada di tangannya.
Pada masa itu Seri Rentaka diudara merenung tajam ke arah Putera Beruang. Matanya yang tajam dan merah itu sudah pasti menggerunkan bagi sesiapa sahaja yang ingin menentangnya. Seri Rentaka dikata berusia 100 tahun dan tinggal di Tasik Tanjung Pura. Seri Rentaka bukan mudah untuk untuk ditentang. Begitu ramai pendekar dan pahlawan tewas di tanganya.
Pada masa itu, Putera Beruang terus mara ke tengah istana untuk bertempur dengan Seri Rentaka. Dari kejauhan disebalik tingkap istana, ayahanda dan bonda melihat anakanda mereka Putera Beruang bertarung dengan seekor naga ganas. Dalam hati mereka berdua, hanya berdoa kepada tuhan agar puteranya dapat menewaskan naga itu.
Maka dengan sepantas kilat, Seri Rentaka yang berada di angkasa menyemburkan api yang panas kepada Putera Beruang, namun, semburan demi semburan berjaya ditangkis oleh Putera Beruang.
Pertarungan hebat antara Seri Rentaka dan Putera Beruang apabila Putera Beruang digambarkan boleh menerbangkan diri ke angkasa untuk menyerang jantung Seri Rentaka.
Setelah perlawanan demi perlawanan, maka dengan kuasa tuhan, Putera Beruang berjaya menikam Seri Rentaka dengan tombak sakti nenek kebayan terus menusuk ke jantung Seri Rentaka. Pada masa itu, Seri Rentaka mula melemah akhirnya jatuh menjunam ke atas tanah. Sebaik sahaja Seri Rentaka berjaya ditewaskan, Putera Beruang terus mengambil kalung zamrud di leher Seri Rentaka , lalu dikalungkannya di leher.
Pada masa itu Putera Beruang merasakan sesuatu kelainan sewaktu memakai kalung zamrud itu. Secara tiba-tiba, tubuh badan Putera Beruang perlahan-lahan berubah menjadi tubuh badan manusia. Mukanya yang separuh berwajah beruang itu tiba-tiba menjadi wajah yang kacak dan tampan. Kalung zamrud itu juga secara tiba-tiba terus hilang daripada pandangan.
Sewaktu Putera Beruang sedang kagum melihat perubahan kepada diri baginda, tiba-tiba muncul kembali nenek kebayan yang memberikan tombak sakti itu dan berkata:
" Wahai Putera Beruang. Sesungguhnya telah tamatlah sumpahan ke atas dirimu sejak kecil lagi. Maka selamat dan Sejahtera lah selama-lamanya Tuanku memerintah negeri yang abadi ini.
Setelah didengar oleh Putera Beruang, maka baginda pun bertitah :
" Wahai nenek yang ku hormati , Sesungguhnya sumpahan ini tidak akan berakhir sekiranya tanpa bantuan nenek kepada beta. Sebagai tanda penghargaan beta kepada nenek. Terimalah sepasang sepersalinan sutera untuk nenek. "
Maka nenek kebayan itu berkata :
" Wahai Putera Beruang, sayangilah kedua-dua ibu dan bapa Tuanku dan jadilah Tuanku sebagai seorang raja yang adil dan saksama semasa pemerintahan Tuanku kelak. Nenek doakan yang terbaik kepada Tuanku.
Sejurus berkata-kata dan menerima sepersalinan, maka nenek kebayan terus ghaib menghilangkan diri. Pada masa itu, kendengaran suara Ayahanda dan Bonda Putera Beruang berlari-lari ke arah Putera Beruang.
Lalu Ayahanda dan bonda Putera Beruang terus memeluk erat serta melihat wajah anakanda baginda yang telah berubah menjadi manusia sepenuhnya,
Dengan linanngan air mata kegembiraan, bonda Putera Beruang bertitah:
" Wahai anakanda, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan bonda dan ayahanda melihat keadaan anakanda yang tampan rupawan serta selamat dari serangan Seri Rentaka.
Setelah mendengar titah bondanya, Putera Beruang bertitah:
" Wahai ayahanda dan bonda, anakanda amat terhutang nyawa dan budi kepada ayahanda dan bonda yang memelihara anakanda sejak dari kecil.
Anakanda berjanji, anakanda akan menjadi anak yang baik serta raja yang adil dan saksama untuk rakyat di negeri ini.
Setelah negeri kembali aman sedia kala, maka rakyat jelata kembali semula ke kota. Pada masa itu , semua rakyat tertanya-tanya dimanakah putera raja yang hodoh itu ? . Sebaliknya semua rakyat dikejutkan dengan kehadiran putera kerajaan yang tampan yang setiap hari turun pada menjaga kebajikan rakyat jelata.
No comments:
Post a Comment