Saturday, 17 January 2026

CERITA DONGENG MERBUK DARI KAYANGAN

 CERITA DONGENG MERBUK DARI KAYANGAN

Diolah dan diceritakan semula oleh Zulkifli bin Kamaruddin 2026


Seperti yang diceritakan oleh orang-orang tua dahulu, disebuah kawasan perkampungan di Tanjung Puteri di Negeri Johor. Tinggallah seorang pemuda yang bernama Bayu. Bayu merupakan seorang pemuda yang hidup sebatang kara. Ibu bapa Bayu telah lama meninggal dunia kerana hilang sewaktu belayar ke Majapahit.

Sejak ibu bapanya meninggal dunia, Bayu mula berdikari menguruskan kehidupannya. Sejak kecil lagi, Bayu sudah pandai bekerja.Bayu mula bekerja di atas kapal bersama dengan seorang nakhoda kapal yang bernama Nakhoda Abdul. Bayu diceritakan sebagai seorang anak yang rajin dan sentiasa mendengar arahan. Selain itu, Bayu juga amat menghormati semua anak-anak kapal yang berada disana. Sikapnya itu telah menyebabkan Bayu amat disenangi dan dihormati oleh semua orang.

Apabila Bayu meningkat dewasa, Bayu mempunyai rupa paras yang tampan dan tubuh yang perkasa. Ramai anak gadis desa terpesona dengan ketampanan Bayu. Namun, Bayu tidak mudah untuk bergaul mesra dengan anak gadis yang berada di sekelilingnya. Bayu tahu, sebagai anak angkat kepada Nakhoda Abdul, Bayu harus menjaga semua batas pergaulan dan tutor kata.

Maka tibalah pada satu saat dan seketika, Nakhoda Abdul telah memanggil Bayu untuk menunaikan satu permintaanya.

" Wahai Bayu Anakku, ayah sudah semakin tua, ayah teringin untuk melihat Bayu berumah tangga serta menjadi peganti penerus pelayaran ini."

Setelah Bayu mendengar kata-kata daripada Ayah Angkatnya itu Bayu berkata :

" Baiklah ayah, akan Bayu penuhi segala Impian dan hajat ayah itu.
Nakhoda Abdul yang mendengar kata-kata Bayu itu amat gembira mendengar kata-kata Bayu anak angkatnya itu.

Maka setelah berbulan-bulan berlayar, sampailah kapal Nakhoda Abdul disebuah tanah besar. Seperti biasa, sauh pun dilabuhkan untuk memberi peluang kepada anak-anak kapal berehat dan mencari keperluan untuk mengisi bekalan makanan. Pada masa itu juga, Bayu ingin pergi ke kawasan hutan yang berhampiran dengan pelabuhan untuk mengambil air serta menikmati kehijauan hutan yang telah lama tidak dapat dilihatnya.

Seperti biasa, Bayu berjalan perlahan-lahan menelosori denai-denai kecil sehingga sampai disatu kawasan air terjun yang sangat indah dan mempersonakan.Bayu mendekati kawasan air terjun itu. Kelihatan airnya biru dan jernih sekali. Bayu segera mengambil air terjun di kolam itu untuk membasahkan tekaknya

Apabila Bayu menghirup air itu Bayu berkata :

" Sungguh segar sekali rasa air didalam kolam ini. "

Bayu berjalan-jalan menikmati kawasan di sekitar air terjun itu. Namun secara tiba-tiba seekor burung telah jatuh ke atas bahu Bayu. Bayu berasa sangat terkejut. Lalu Bayu melihat burung yang jatuh ke atas bahunya itu. Apabila Bayu melihatnya, ternyata burung tersebut ialah seekor burung merbuk yang sangat cantik. Bayu terpesona melihat kecantikan burung itu. Seungguhnya burung merbuk yang dijumpainya pada kali ini amat berbeza dengan burung merbuk yang dilihatnya sebelum ini.

Ketika Bayu ingin menerbangkan semula burung Merbuk itu, Bayu terlihat kaki burung merbuk itu telah luka.Mungkin sebab itu burung Merbuk tidak boleh terbang. Apabila melihat keadaan itu, Bayu membuat keputusan untuk membawa burung Merbuk itu pulang ke kapalnya untuk dirawat.

Bayu segera beredar dari kawasan air terjun itu menuju ke kapal. Semasa di kapal, Bayu telah menunjukan burung Merbuk itu kepada ayah angkatnya itu. Ayahnya turut teruja melihat keadaan burung Merbuk itu yang sangat cantik. Seterusnya, Bayu segera mengambil ubat untuk merawat kaki burung Merbuk itu. Setelah itu, Bayu meletakkan burung Merbuk kesayangannya itu ke dalam sebuah sangkar.

Setiap hari, Bayu akan melihat dan menjaga burung Merbuk kesayangannya itu. Jika ada yang tidak kena dengan burung merbuk itu, pasti Bayu akan segera merawatnya. Burung Merbuknya juga sentiasa ada dalam setiap kali perlayaran Bayu bersama kapalnya itu.

Bak kata pujangga, siang berganti malam, hari berganti hari , bulan berganti bulan telah 7 tahun Bayu menjaga burung merbuk yang cantik itu.Maka pada satu hari , kapalnya telah berlayar dan mudik sampai ke tanah kelahiran Bayu di Tanjung Puteri. Seperti biasa, Bayu berasa sangat teruja kerana telah lama meninggalkan kampung halamanya. Sebaik sahaja sampai, Bayu terus membawa burung Merbuk dan ayahnya di rumah lamanya.

Pada masa itu juga warga desa yang sudah lama tidak melihat Bayu sangat gembira berjumpa dengan Bayu. Pada masa itu juga ramai gadis-gadis desa teruja apabila melihat Bayu yang tampan dan gagah perkasa itu pulang ke kampung halamannya. Selain itu juga kedengaran warga desa teruja dengan kecantikan burung merbuk yang ada di bahu Bayu. Apabila sampai di rumah, Bayu dan ayahnya berehat akibat terlalu penat berlayar. Akhirnya , Bayu dan ayahnya tertidur

Pada masa itu burung merbuk yang dibawa oleh Bayu tiba-tiba menjelmakan dirinya menjadi seorang puteri yang sangat cantik jelita. Dengan kuasa sakti yang dimiliki, puteri telah mengubah suai rumah Bayu menjadi sebuah Mahligai yang indah.

Pada keesokannya, ketika Bayu dan ayahnya bangun dari tidur. Mereka berdua terkejut dan berpandangan sesama mereka. Bayu berkata kepada ayahnya :

" Ayah dimanakah kita berada. Setahu Bayu, rumah ini semalam hanyalah sebuah rumah pusaka yang Bayu tinggal sewaktu kecil sebelum berlayar mengikut ayah."

Ayahnya hanya diam Sahaja. Seterusnya tiba-tiba muncul seorang wanita cantik dihadapan Bayu dan Ayahnya itu lalu berkata:

" Janganlah Bayu atau ayah terkejut. Semua ini hadiah untuk Bayu kerana telah menjaga beta selama ini.

Bayu dan ayahnya masih kebingungan. Bayu bertanya lagi :

" Siapakah gerangan tuan hamba ? "

Lalu puteri itu pun menjawab :

" Betalah burung merbuk yang telah Bayu jaga selama ini. Beta telah bebas daripada sumpahan daripada Maharaja Kayangan. Beta bernama Puteri Ratna Sakti. Beta ialah puteri bongsu daripada ayahanda beta Raja Indera Sakti yang memerintah kerajaan kayangan.

Setelah mendengar kata-kata daripada Puteri Ratna Sakti, Bayu sangat terkejut. Dia tidak menyangka burung merbuk yang dijaganya selama ini ialah seorang puteri raja.

Sejak kali pertama bertemu dengan Puteri Ratna Sari, Bayu telah jatuh cinta padang pertama. Akhirnya impian Bayu untuk menunaikan hajat bapa angkatnya itu terlaksana. Bayu ingin memperisteri Puteri Ratna Sakti supaya menjadi suri rumah tangganya.

Nakhoda yang mendengar juga berasa sangat seronok kerana anak angkatnya itu telah menemui pasangan hidup yang diimpikannya. Maka Bayu terus melamar Puteri Ratna Sakti secepat mungkin.

Apabila Bayu menemui Puteri Ratna Sakti, Bayu meluahkan hasratnya. Puteri Ratna Sakti amat gembira dengan lamaran itu, tetapi Bayu mesti berjanji dan mengikut syarat sebelum perkahwinan ini diadakan.
Puteri Ratna Sakti pun berkata :

" Beta sememangnya telah lama jatuh cinta kepada tuan hamba Bayu, jika niatmu ikhlas untuk memperisteri kan beta. Ada syarat yang perlu Bayu ikuti.

Seterusnya Bayu bertanya kepada Puteri Ratna Sakti:

" Apakah syarat yang perlu hamba ikuti"?

Lalu Puteri Ratna Sakti berkata :

" Apabila kita telah berkahwin nanti, tuan hamba tidak boleh memberitahu tentang asal usul hamba kepada sesiapa sahaja kecuali ayah tuan hamba. Sekiranya tuan hamba melanggar syarat tersebut, beta akan disumpah kembali menjadi burung merbuk dan kembali ke kayangan buat selama-lamanya.

Setelah mendengar syarat itu, Bayu menangguk tanda memahami permintaan daripada Puteri Ratna Sakti.

Setelah segala persiapan disiapkan, Bayu dan Puteri Ratna Sakti dilansungkan didalam satu majlis yang gilang-gemilang. Pada masa itu seluruh penduduk di Tanjung Puteri diundang ke majlis tersebut. Para tertamu dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang enak-enak.

Semasa Bayu dan Puteri Ratna Sakti di atas perlamin, semua tetamu yang datang berasa kagum dan terpesona melihat wajah kedua-dua pasangan mempelai, para tetamu mengatakan bahawa pasangan pengantin umpama pinang dibelah dua kerana sama cantik dan sama padan.

Bagi golongan wanita pula, mereka berbisik sesama sendiri apakah rahsia isteri Bayu sehingga wajahnya kelihatan berseri-seri semasa majlis perkahwinan tersebut terjadi.

Maka menurut cerita orang-orang tua, seorang wanita yang bernama Melati turut hadir semasa majlis tersebut. Melati terpesona dengan kekacakan Bayu semasa majlis tersebut. Melati mula menaruh hati kepada Bayu dan Cuba untuk menawan hati Bayu walaupun Bayu telah menjadi suami orang.

Selepas majlis perkahwinan, Melati Cuba untuk mendekatkan diri kepada Bayu. Hampir setiap hari, Melati akan Cuba untuk berusaha bertemu dengan Bayu dimana-mana sahaja Bayu berada di kampung. Pada masa itu juga , Bayu melayan Melati seperti orang biasa dan tiada perasaan yang istimewa terhadap Melati. Bayu tahu bahawa dia harus menjaga batas setelah dia bergelar suami kepada Puteri Ratna Sakti.

Sejak bergelar suami kepada Puteri Ratna Sakti, kehidupan Bayu semakin bahagia. Setiap hari, Bayu akan pulang ke rumah untuk makan bersama isteri kesayangannya. Sebagai seorang isteri Puteri Ratna Sakti akan menyediakan makanan yang lazat dan menyedapkan untuk santapan suaminya yang pergi berkerja setiap hari.

Pada masa itu juga, Puteri Ratna Sakti turut bertanya kepada Bayu mengapakah Melati dikatakan setiap hari berjumpa dengan Bayu di kawasan kampung. Tetapi suaminya Bayu berkata bahawa pertemuan dirinya bersama Melati hanya pertemuan biasa dan tiada apa -apa yang perlu dirisaukan. Bayu berkata bahawa dia hanya mencintai isterinya sahaja, tudak ada wanita lain di hatinya.

Puteri Ratna Sakti juga sememangnya amat mempercayai Bayu. Dia tahu bahawa suaminya itu amat setia kepadanya.

Maka, pada satu hari, Oleh kerana perasaan cinta yang tidak dapat lagi ditahan oleh Melati, Melati akhirnya bertemu dengan Bayu dan meluahkan perasaan cintanya, Melati sanggup untuk menjadi isteri Bayu yang kedua dan berkongsi kasih bersama Puteri Ratna Sari.

Namun, Bayu menolak permintaan itu kerana Bayu hanya mencintai
Puteri Ratna Sakti sahaja. Melati yang mendengarnya amat marah dan berkecil hati, Melati mempersoalkan apa bezanya Puteri Ratna Sakti dengan dirinya.

Namun, Bayu pada masa itu hanya mendiamkan diri. Sejak pergaduhan itu Melati terus menggangu Bayu meminta penjelasan mengapakah Bayu tidak boleh menerima dirinya sebagai calon isteri.

Hari demi hari, bulan demi bulan. Melati terus mendesak Bayu untuk mendapatkan jawapan tersebut.

Maka sepert yang telah diriwayatkan , Bayu menjelaskan bahawa Puteri Ratna Sakti istimewa baginya kerana isterinya itu merupakan puteri yang berasal dari kayangan. Melati yang terdengar kata-kata daripada Bayu seolah-oleh tidak menyangka apa yang didengarnya daripada Bayu. Melati tidak percaya bahawa isteri Bayu merupakan penduduk kayangan.kini terjawablah rahsia mengapakah isteri Bayu kelihatan anggun dan berseri-seri semasa majlis perkahwinan Bayu.

Terlajak perahu boleh diundur , terlajak kata buruk padahnya. Bayu secara tidak sengaja telah melanggar syarat sumpahan yang diceritakan oleh isterinya sewaktu diawal majlis perkahwinan. Selepas Bayu bertemu Melati, Bayu bergegas untuk pulang ke rumah dan berjumpa dengan isterinya itu.

Sewaktu tiba dirumah, Bayu memanggil isterinya dan mencari-cari dimanakah isterinya berada. Tetapi suara panggilan itu tidak disahut oleh isterinya itu. Bayu mula berasa risau. Bayu bertanya dengan orang -orang suruhan yang bekerja di rumahnya tentang dimanakah isterinya berada, namun masing-masing tidak mengetahui.

Bayu terus mencari isterinya yang hilang itu sehingga ke satu kawasan air terjun di pinggir kampung. Setelah penat mencari, Bayu berehat dipinggir sebuah batu. Oleh sebab terlalu penat Bayu tertidur dan bermimpi.

Didalam mimpi itu, isterinya muncul dan berkata kepada Bayu:

" Wahai suamiku, maafkan beta kerana bahawasanya beta tidak dapat lagi untuk berada dibumi. Beta telah pun berada di taman kayangan dan tidak akan pulang ke bumi untuk selama-lamanya. Jodoh kita hanya setakat ini sahaja. Beta doakan yang terbaik untuk mu suamiku Bayu.
Jika Bayu merindui beta. Datanglah ke sini dan dengar kanlah kicauan burung merbuk disini sebagai ganti pengubat rindu.

Bayu tersedar daripada lamunan mimpinya itu, Bayu menangis dan menyesal dengan kesilapanya. Namun, segala nya telah terlambat umpama nasi telah menjadi bubur.

Bayu meneruskan kehidupannya seperti biasa dan sejak peristiwa itu. Bayu tidak menikahi dengan sesiapa. Bayu akan ke kawasan air terjun dan mendengar bunyi kicauan burung merbuk sebagai tanda rindu kepada isterinya.


No comments:

Post a Comment