Monday, 27 April 2026

CERITA RAKYAT JOHOR ASAL USUL NAMA SENGGARANG

 CERITA RAKYAT AKIBAT JANJI DIDUSTAI DAN ASAL USUL NAMA SENGGARANG


Di sebuah desa yang terletak di dalam daerah Batu Pahat pada satu ketika dahulu, telah wujud satu perkampungan kecil yang dikelilingi oleh sebuah tasik. Jika penduduk di perkampungan tersebut ingin ke kawasan daratan yang luas, mereka harus menaiki sampan atau perahu kecil . Di dasar tasik tersebut, telah didiami oleh sekumpulan buaya putih. Buaya putih tersebut sebenarnya telah lama mendiami kawasan tasik itu.

Apabila kawasan kampung itu dibuka oleh manusia, buaya yang ada di dasar tasik tersebut juga turut merestui serta tidak pernah menggangu kehidupan penduduk kampung. Walaupun ada warga kampung yang ulang-alik untuk ke kawasan tanah besar setiap hari menggunakan perahu, tetapi buaya yang ada didalam tasik tersebut tidak pernah menyerang manusia.

Menurut penduduk kampung, sebelum perkampungan tersebut dibina, seorang pawang yang terkenal yang bernama Pawang Usop telah berjumpa dan mengadakan pertemuan dengan ketua buaya yang bernama Sang Gangga. Dalam pertemuan itu, Pawang Usop telah berjanji bahawa warga kampung yang akan tinggal disini tidak akan menggangu kehidupan buaya yang ada di dalam tasik ini. Sang Gangga juga turut berjanji bahawa buaya-buaya lain yang ada di dasar tasik ini tidak akan menggangu manusia kecuali bagi manusia yang cuba mengambil haiwan lain yang tinggal didasar tasik ini.

Sejak daripada pertemuan empat mata itu, kehidupan warga kampung dan buaya di situ menjadi aman dan sentosa. Anak-anak warga kampung bebas mandi-manda di tasik tanpa ada ancaman daripada sang buaya.


Namun, pada satu hari,tersebutlah sebuah kisah yang bermula dengan seorang pemuda lelaki yang bernama Sang Nila. Sang Nila ialah seorang pemuda yang berasal dari Pagar Ruyung. Sang Nila sering mengembara, tetapi pada kali ini, Sang Nila ingin menetap di desa ini kerana tertarik dengan keindahan desa ini. Maka Sang Nila pun berjumpa dengan penghulu disini yang bernama Penghulu Deraman.

" Wahai Tok Penghulu. Hamba memohon izin untuk mendirikan pondok dihujung kampung ini".

Maka Penghulu Deraman pun berkata:

" Wahai anak muda, silalah. Hamba dan penduduk desa ini mengalu-alukan kehadiran tuan hamba.

Sang Nila amat gembira mendengar kata-kata daripada Penghulu Deraman. Maka berjalanlah Sang Nila menuju ke hujung kampung, sewaktu mengelilingi kawasan kampung, sang nila terpesona dengan keindahan kawasan tasik yang mengelilingi kawasan desa ini. Maka Sang Nila pun berkata :

" Alangkah indahnya desa ini. Tasiknya juga airnya jernih. Sudah pasti banyak hidupan yang ada di dalamnya, "

Setelah sampai di hujung desa. Sang Nila mula membuat pondok untuk menetap disitu, mengikut kisah orang-orang desa, Sang Nila seorang yang pandai berniaga. Sang Nila mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di sekitar kawasan pondoknya.

Sang Nila juga menternak ayam dan kambing. Apabila semua ternakan dan tanamannya berhasil, Sang Nila akan berdagang dengan orang desa serta penduduk kawasan desa lain. Semakin hari dan masa perniagaan Sang Nila bertambah maju. Segala ternakan tanaman membuahkan hasil yang lumayan.

Pondok yang dibina oleh Sang Nila pada asalnya telah berubah menjadi sebuah rumah agam dua tingkat yang gah dihujung pelusok desa. Sebagai membalas jasa penduduk desa, Sang Nila telah mengupah anak-anak muda warga desa untuk bekerja dengannya. Sikap baik hati Sang Nila itu membuatkan dirinya amat dihormati dan disanjungi oleh warga desa.

Sebagai seorang yang berfikiran suka berniaga, Sang Nila sentiasa ingin mengembangkan perniagaanya . Maka pada satu hari, sewaktu Sang Nila berkuda mengelilingi kawasan tasik, Sang Nila mendapat satu idea. Sang Nila berhasrat untuk mengail ikan di kawasan tasik di desa ini.

Sang Nila berkata dalam hatinya:

" Apakah agaknya yang ada didalam tasik ini. Hamba juga tidak melihat warga desa menangkap ikan atau haiwan lain dari tasik ini. Hamba juga lihat tasik ini juga sangat tenang dan tidak ada yang mencurigakan.

Perasaan Sang Nila semakin tertanya-tanya. Maka, Sang Nila telah segera pulang ke rumahnya dan mengambil serawan jala dan terus mendayung perahu. Sewaktu berada di tengah tasik, Sang Nila telah melemparkan serawan jala ke dasarnya. Kemudian, Sang Nila perlahan-lahan menarik jala itu ke dalam perahunya.

Sang Nila berasa sangat teruja kerana memperolehi bergitu banyak udang yang besar-besar. Maka Sang Nila berkata-kata didalam hatinya:

" Wah sungguh banyak rupanya udang di tasik ini.

Setelah mendapat udang yang banyak, Sang Nila segera mendayung sampan untuk pulang. Setibanya di rumah, Sang Nila meminta pembantunya memasak udang tersebut dan menjamu semua orang pekerja-pekerja yang berkhidmat dengan Sang Nila. Semua pekerja Sang Nila makan dengan selera .

Maka salah seorang pekerjanya bertanya :

" Wahai Sang Nila, dimanakah tuan memperoleh bergitu banyak udang yang segar ini. Setelah didengar oleh Sang Nila , maka disahuti olehnya :

" Oh udang ini hamba dapat dari hasil memukat di tasik kita di desa ini. "

Setelah mendengar kata-kata daripada Sang Nila itu, semua pekerjanya terdiam dengan raup muka yang ketakutan, maka seorang pekerja bangun dan berkata kepada Sang Nila.

" Wahai Tuan Sang Nila. Adakah tuan hamba tahu bahawa tiada seorang penduduk desa ini yang berani mengambil haiwan yang ada didasar tasik ini. Sesungguhnya tasik itu telah dijaga oleh buaya putih. Raja Sang Gangga pula ketua buaya putih didasar ini. Kami warga desa telah bersumpah sewaktu pembukaan desa ini, manusia dan Buaya di tasik ini telah bersumpah untuk menjaga dan menghormati antara satu sama lain. Tetapi, tindakan tuan Nila ini sebenarnya telah melanggar sumpah yang telah lama dibuat oleh Pawang Usop sewaktu membuka kawasan ini.

Pada hemat hamba, eloklah Tuan Sang Nila berjumpa dengan Penghulu Deraman untuk mengetahui cara untuk memohon maaf atas tindakan ini.Setelah mendengar kata-kata daripada pekerjanya itu , Sang Nila dengan senyuman sinis berkata:

" Mengapakah kalian bergitu kolot fikiran. Sepanjang hamba di tasik tidak ada seekor buaya yang hamba jumpa. Hamba juga bergitu senang menjala ditasik yang tenang itu. Mana mungkin buaya atau haiwan lain yang ada disitu boleh mengancam kita. "

Maka seorang pekerja Sang Nila bangun berkata:

" Wahai tuan Sang Nila, adalah moleknya Tuan berjumpa dengan Penghulu Deraman. Dia orang tua dan penduduk asal disini. Penghulu Deraman tahu apa yang ada di desa ini. Tapi kami warga desa percaya memang tasik disekeliling desa ini ada penunggunya dan harus dihormati. Kami tidak mahu tindakan tuan kelak akan menimbulkan musibah kepada kami yang tinggal di desa.

Setelah mendengar kata-kata daripada pekerjanya, Sang Nila segera menuju ke rumah Penghulu Deraman. Setelah bertemu dengan Penghulu Deraman, Sang Nila menceritakan apa yang dikatakan oleh pekerjanya semalam.

Setelah mendengar kata-kata Sang Nila itu, Penghulu Deraman pun berkata :

" Wahai Sang Nila, tuan hamba harus memohon maaf kepada penunggu di tasik ini. Tasik yang mengelilingi desa ini dibawah jagaan Sang Gangga Raja kepada buaya putih dan hidupan lain didasar tasik ini. Sekiranya tuan hamba tidak memohon maaf , sudah pastinya warga desa ini akan ditimpa musibah kelak.

Setelah mendengar kata-kata daripada Penghulu Deraman, Sang Nila terus berkata dengan angkuhnya:

" Ahh ...itu semua mengarut. Hamba tidak percaya kawasan tasik ini dijaga oleh buaya, mana mungkin haiwan itu semua boleh mengancam warga desa. Hamba tidak percaya dengan sumpahan atau patang-larang yang kolot itu.

Setelah itu Penghulu Deraman menasihati Sang Nila lagi supaya Sang Nila meminta maaf dan mengakui kesalahanya. Tetapi sayang, Sang Nila tetap dengan keputusannya tidak mempercayai kata-kata yang dikatakan oleh Penghulu Deraman itu,

Sang Nila segera turun dan terus menaiki kuda tunggangnya. Sang Nila terus meninggalkan perkarangan Rumah Penghulu Deraman itu.Pada masa itu cuaca yang cerah bertukar gelap, Kilat sabung-menyabung di angkasa. Angin bertiup kencang. Air di seluruh permukaan tasik berkocak dan berombak dengan sangat deras.

Sang Nila yang berada di tengah perjalanan memerhatikan keadaan sekelilingnya seolah-olah ada sesuatu yang tidak baik berlaku. Sewaktu Sang Nila ingin sampai di halaman rumahnya. Secara tiba-tiba, kuda tunggangan Sang Nila terhenti dan bertindak liar. Sang Nila akhirnya terjatuh daripada kuda itu. Tubuhnya tiba-tiba menjadi kaku dan tidak boleh bergerak.


Maka pada masa itu, telah timbul Sang Gangga dengan wajah yang begins dan garang itu seperti yang diceritakan oleh warga desa itu dari permukaan tasik merangkak ke arah Sang Nila. Pada masa itu juga ada sebahagian warga desa dapat melihat Sang Gangga dengan mata kepala mereka sendiri. Sesungguhnya, apa yang diceritakan oleh Pawang Usop kepada penduduk desa pada masa itu adalah benar.

Sang Gangga menghampiri Sang Nila dan Berkata:

" Wahai manusia yang tidak tahu menghargai orang. Akibat sikap ego mu yang tinggi itu, maka nyawamu jadi taruhnya. Disaat ini terimalah hukuman mu atas perbuatanmu itu.

Secara pelan-pelan , kaki Sang Nila diseret oleh Buaya raksasa yang garang bernama Sang Gangga itu ke dalam tasik. Penduduk desa yang menyaksikan peristiwa itu tidak berani untuk menyelamatkan Sang Nila.
Pada masa itu juga permukaan air tasik yang jernih dan biru secara tiba-tiba bertukar menjadi merah nenyala umpama buah Saga.

Sejak peristiwa itu, warga desa menamakan kawasan itu sebagai Sengarang sempena kisah sedih Sang Nila yang mati kerana dibaham oleh Sang Gangga. Sehingga hari ini, nama Pekan Sengarang diabadikan di daerah Batu Pahat. 

CERITA MITOS BINATANG ASAL USUL NAMA KULAI

CERITA RAKYAT PERGADUHAN SANG MONYET DAN SANG KURA-KURA MITOS ASAL USUL DAERAH KULAI.

Tersebutlah sebuah kisah yang berlaku pada zaman dahulu kala di sebuah daerah kecil yang terdapat didalam negeri Johor. Tinggallah dua sahabat baik iaitu Sang Monyet dan Sang Kura-Kura. Kedua-dua sahabat baik ini hidup berdekatan dengan sebuah gunung. Oleh kerana, Kedua-dua haiwan ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Maka mereka saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Sang kura-kura akan selalu menjadi alat tunggangan ketika Sang Monyet ingin bergerak ke satu-satu tempat. Sebagai ganjaran Sang Monyet akan memberikan Sang Kura- Kura makan sayur-sayuran. Sang Monyet pula yang pantas bergerak di atas pokok pula sering membantu Sang Kura-Kura terutamanya apabila Sang Kura-Kura teringin untuk menikmati buah-buahan di hutan. Oleh itu, sekiranya Sang Monyet ingin menikmati haiwan seperti siput dan udang di sungai, sudah pastinya Sang Kura-Kura akan membantu Sang Monyet kerana Sang Kura-Kura boleh menyelam didalam air.

Bergitulah kehidupan sehari-hari bagi kedua-dua haiwan ini. Saling tolong monolong antara satu sama lain. Maka, pada satu hari dikhabarkan di hujung kampung , pokok-pokok buah-buahan disitu telah berbuah dengan ranumnya. Di situ , terdapat pokok buah rambutan, buah manggis dan buah mangga. Maka Sang Kura-Kura pun segera berjumpa Sang Monyet untuk mengajaknya menikmati buah-buahan yang ada disana.

" Wahai sahabatku Sang Monyet. Di hujung kampung kita katanya buah-buahan disana telah masak ranum. Aku teringin sekali untuk menikmatinya.

Setelah didengar oleh Sang Monyet, maka Sang Monyet pun berkata :

" Wahai sahabatku Kura-Kura. Katakan apa sahaja kemahuan mu, aku akan segera membantu mu. Jika kamu teringin untuk memetik buah-buahan yang ada disana. Aku akan segera membantu mu. Kita akan berangkat esok ya.

Setelah didengar oleh Sang Kura-Kura , perasaan gembira semakin terasa. Sang Kura-Kura tidak sabar untuk menunggu hari esok untuk ke hujung kampung. Dalam hatinya, sang Kura-Kura ingin makan sepuasnya buah-buahan yang ada dihujung kampung itu.

Maka pada keesokannya, seawal pagi Sang Monyet telah berada di kawasan rumah kura-kura. Sememangnya Sang Kura-kura telah bersedia menunggu Sang Monyet pada pagi itu. Maka kedua-dua sahabat baik ini bergeraklah sehingga sampai di kawasan pinggir hutan. Sepanjang perjalanan, kedua-dua sahabat ini berborak rancak dengan mesra dan bergurau senda antara satu sama lain.

Sepanjang perjalanan itu juga, pelbagai jenis haiwan telah disantuni oleh kedua-dua sahabat baik ini. Haiwan di kawasan pinggir hutan itu juga sangat gembira apabila melihat Sang Monyet dan Sang Kura-Kura bersahabat baik dan selalu bersama-sama ke mana-mana sahaja mereka pergi. Maka sewaktu perjalanan, Sang Monyet dan Sang Kura-Kura telah melewati perkampungan musang sebelum tiba di hujung kampung.

Sewaktu tiba di perkampungan musang, kedua-dua sahabat ini menyapa seekor Musang di situ.

" Wahai kawanku Si Musang. Apa khabar kah kamu disini. Lama juga kita tidak bertemu.

Setelah didengar oleh si musang, maka si musang pun berkata :

" Hai kawanku Sang Monyet dan Sang Kura-Kura, Wah ! Awal benar kalian berdua berjalan-jalan di pinggir hutan. Kemanakah kalian ingin pergi ?

Setelah didengar oleh Sang Monyet. Maka Sang Monyet pun berkata:

" Kami mahu ke pinggir hutan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum di pinggir hutan di kampung kita ini. "

Setelah mendengar kata-kata daripada Sang Monyet itu, Si Musang bertanya kembali kepada Sang Monyet.

" Oh bergitu, hanya kalian berdua sahaja ke sana ? Tiada teman-teman haiwan lain yang ikut sekali."

Lalu Sang Kura-Kura berkata:

" Ya Wahai Musang. Hanya kami berdua sahaja ke sana. Kami lebih selesa jika berdua sahaja untuk ke mana-mana."

Si Musang hanya diam dan tidak berkata apa-apa, Di dalam hatinya, Si musang amat terasa dengan kata-kata daripada Sang Kura-Kura. Pada masa itu juga , Si Musang telah mula berasa amat cemburu dan mula berdendam dengan Sang Kura-Kura dan Sang Monyet.

Setelah menyapa si Musang, maka Sang Monyet dan Sang Kura-Kura terus bergerak meninggalkan Si Musang. Pada masa yang sama , si Musang terus memasang niat jahatnya untuk menghancurkan persahabatan antara Sang Monyet dan Sang Kura-Kura.

Setelah meniti perjalanan yang jauh , maka Sang Monyet dan Sang Kura-Kura telah sampai dihujung kampung. Kedua-dua sahabat ini amat gembira kerana terdapat banyak pokok buah-buahan yang sedang masak ranum buahnya. Maka Sang Monyet dengan pantas segera melompat dan bergayut di dahan pokok untuk memetik buah-buahan disitu.

Manakala Sang Kura-Kura pula hanya berada dibawah pokok sambil menunggu Sang Monyet memetik buah-buahan disana. Pada masa yang sama, Si Musang mengintip Sang Kura-Kura dan Sang Monyet daripada rimbunan semak-samun yang ada disitu. Perasaan marah si Musang semakin meluap apabila melihat kegembiraan Sang Monyet dan Sang Kura-Kura menikmati buah-buahan disana.

Si Musang terus memikirkan bagaimanakah untuk menghancurkan persahabatan antara Sang Monyet dan Sang Kura-Kura.Setelah Sang Monyet dan Sang Kura-Kura selesai menikmati buah-buahan disitu, maka kedua-dua mereka pun bergerak untuk pulang. Si Musang hanya mengintip pergerakan mereka dari jauh dengan perasaan yang kurang senang.

Setelah sampai di kawasan kampung seperti biasa sang monyet dan sang Kura-Kura pulang ke kawasan tempat tinggil masing-masing. Tetapi Si Musang terus menuju ke rumah Si Merak untuk berjumpa. Tujuan Si Musang berjumpa dengan Si Merak untuk berbincang cara untuk memisahkan persahabatan antara Sang Monyet dengan Sang Kura-Kura.

Sebaik tiba di perkarangan rumah Si Merak, Si Musang terus berkata :

" Wahai Merak kawanku, Sesungguhnya haiku ini sangat sakit akan melihat Monyet dan Kura-Kura yang hanya menikmati buah-buahan di hujung kampung tanpa sedikitpun mempelawa kita bahkan untuk membawa kita sekali ke sana. "

Setelah mendengar kata-kata daripada Si Musang itu, lantas Si Merak terus berkata :


" Wahai Musang sebenarnya juga, diriku ini juga turut tidak bergitu senang dengan sikap Monyet dan Kura-Kura. "

Seterusnya , Si Musang dan Si Merak telah bersubahat untuk merancang satu helah bagi memisahkan Sang Monyet dan Sang Kura-Kura. Maka Si Merak dan Si Musang telah bersepakat untuk membuat satu cerita yang dapat melagakan kedua-dua haiwan ini.

Maka, Si Musang segera berjumpa dengan Si Monyet di rumahnya. Pada masa itu , Sang Monyet sedang berehat kerana kekeyangan menikmati buah-buahan bersama-sama Sang Kura-Kura. Maka, Si Musang pun menyapa Kepada Sang Monyet:

" Wahai Sang Monyet, sesungguhnya aku senang dan gembira melihat kau sentiasa bersama-sama dengan Sang Kura-Kura. Tetapi janganlah kau terkejut dengan tujuan kedatangan aku ke mari adalah untuk memberitahu kau satu perkara yang mungkin kau akan terkejut mendengarnya.

Seterusnya, Sang Monyet pun berkata:

" Wahai Musang , Cuba ceritakan kepada aku, apakah yang kau ingin sampaikan."

Lalu Si Musang pun berkata :

" Wahai Sang Monyet. Tidakkah kau tahu bahawa sahabat baikmu itu Sang Kura-Kura sebenarnya pada masa ini sedang mempersiapkan diri bersama dengan Kura-Kura yang lain ingin menentang mu. Sang Kura-Kura sebenarnya berpura-pura sahaja untuk berteman baik dengan kamu selama ini. "

Setelah mendengar kata-kata daripada Si Musang itu, Sang Monyet menjadi sedih dan marah. Sang Monyet tidak menyangka bahawa sahabatnya selama ini hanya berpura-pura sahaja dalam persahabatan mereka selama ini.

Si Musang yang melihat Sang Monyet telah mempercayai kata-kata nya itu terus menerus memburukan Sang Kura-Kura dihadapan Sang Monyet. Apabila Si Musang berjaya menghasut Sang Monyet, Si Musang Cuba untuk memberikan cadangan supaya Sang Monyet boleh menghapuskan sahabat nya itu daripada tinggal di hutan ini.

Pada masa yang sama juga Si Merak telah berjumpa dengan Sang Kura-Kura. Seperti apa yang dilakukan oleh Si Musang, Si Merak telah menyatakan bahawa Sang Monyet selama ini hanya terpaksa untuk berteman dan bersahabat bersama. Si Merak juga menyatakan bahawa Sang Monyet ingin menyerang Sang Kura-Kura dengan kawan-kawan Kura-Kura yang lain serta mengusir seluruh keluarga Sang Kura-Kura dari menetap di hutan ini.

Sang Kura-Kura yang mendengar kata-kata daripada Si Merak berasa amat sedih dan tidak menyangka bahawa Sahabatnya itu Sang Monyet sanggup berniat buruk kepadanya. Lalu Sang Kura-Kura pun berkata :

" Baiklah , aku tahu bahawa kami tidak akan menang jika Kura-Kura dan Monyet bertempur dalam peperangan haiwan di hutan ini. Demi untuk menyelamatkan rakan dan keluarga Kura-Kura yang lain, aku mewakili Kura-Kura yang lain akan berundur dari hutan ini. Kami tidak mahu pertumpahan darah berlaku di dalam hutan ini."

Setelah didengar oleh Si Merak kata-kata daripada Sang Kura-Kura, maka dengan senyum sinis Si Merak berkata didalam hatinya.

" Hahaha... padan sungguh muka kau. Akhirnya kau mempercayai kata-kata ku ini, "

Maka pada keesokannya harinya, Sang Kura-Kura bersama dengan Kura-Kura yang lain perlahan-lahan meninggalkan kawasan hutan ini. Walaupun pada hakikatnya Kura-Kura agak berat hati untuk meninggalkan hutan ini namun , demi kebaikan keluarga Kura-Kura serta haiwan lain. Maka Sang Kura-Kura akur dengan keputusan dan tindakan mereka itu,

Pada masa itu juga, Sang Monyet telah bersiap sedia menunggu Sang Kura-Kura yang dikatakan ingin menentang Monyet.Namun, setelah hampir seharian menunggu, Sang Kura-Kura tidak juga kelihatan.Sang Monyet sudah mula meragui kata-kata yang diceritakan oleh Si Musang. Sang Monyet telah pergi mencari Si Musang di rumahnya, tetapi malangnya Si Musang tidak ada disitu.

Sang Monyet juga terus ke rumah Sang Kura-Kura, tetapi Sang Monyet berasa hampa kerana Sang Kura-Kura juga tidak ada disana. Tiba-tiba Sang Tupai telah datang melompat kepada Sang Monyet lalu berkata :

" Wahai Sang Monyet, sesungguhnya apa yang kamu dengar kata-kata daripada Si Musang yang durjana itu adalah kebohongan dan rekaan semata-mata. Musang sebenarnya amat cemburu dengan persahabatan antara kamu dengan Kura-Kura. Oleh sebab itu, Musang mereka-reka cerita supaya kamu berdua bermusuhan antara satu sama lain.

Sesungguhnya aku telah lama tahu dan memerhatikan gerak-geri musang serta kawannya itu si Merak Sombong dari awal sehingga akhirnya."

Sang Monyet amat terkejut dengan kata-kata daripada Sang Tupai. Sang Monyet tidak menyangka bahawa Si Musang sanggup menipunya . Lebih mengecewakan lagi Si Musang terus melarikan diri setelah merencanakan pergaduhan antara monyet dengan Kura-Kura.

Sejak peristiwa itu, Musang dan Merak tidak lagi kelihatan di dalam hutan. Ada haiwan lain yang mengatakan bahawa Musang dan Merak telah berpindah ke sebuah hutan lain yang sangat jauh daripada hutan ini. Pada masa itu juga, Sang Kura-Kura juga tidak kelihatan.

Sang Monyet telah mula rindu yang amat sangat kepada sahabat sang Kura-Kura. Setiap hari, sang Monyet akan pergi ke tempat-tempat mereka menghabiskan masa bersama-sama. Sang Monyet akan menangis dan sedih apabila terkenangkan kenangan bersama.

Kesedihan yang ditanggung oleh Sang Monyet menjadikan diri sang monyet semakin hari semakin lemah dan tidak mempunyai selera untuk makan. Keadaan ini menyebabkan Monyet-Monyet yang lain juga turut risau dan sedih dengan apa yang terjadi.

Berita keadaan kesihatan Sang Monyet telah sampai ke pengetahuan Sang Kura-Kura. Apabila Sang Kura-Kura mendengar cerita dan kebenaran yang berlaku, Sang Kura-Kura berasa sangat kecewa dengan Si Merak. Sang Kura-Kura tidak percaya bahawa Si Merak sanggup menabur fitnah demi memuaskan nafsu Si Musang yang berdendam untuk menghancurkan persahabatan antara kedua-dua dan Monyet.

Tanpa berlengah lagi Sang Kura-Kura beserta sahabatnya yang lain bergerak perlahan-lahan untuk masuk ke hutan untuk menziarahi sahabat nya Sang Monyet yang dikatakan sakit dan terlantar di sebuah gua didalam kawasan kampung.

Pada masa itu juga, terdapat sekumpulan orang Cina yang baru sahaja sampai di kawasan hutan itu. Salah seorang daripada mereka berkata:

" Sungguh indah dah cantik tempat ini. Apa kata jika kita jadikan kawasan ini sebagai tempat pertempatan kita yang baru.?"

Maka setelah cadangan daripada mereka, maka salah seorang daripada mereka pun berkata:

" Bagus juga cadangan kamu itu. Tapi apakah nama sesuai yang kita boleh namakan kawasan ini. ?

Orang-orang Cina itu berpandangan antara satu sama lain. Secara tiba-tiba salah seorang mereka menjerit didalam bahasa cina berdialek hokkien berkata " Gui Lai Gui Lai" Apabila melihat Kura-Kura datang ke arah mereka dengan jumlah yang banyak. Sebutan " Gui Lai " itu akhirnya menjadi nama kepada asal -usul daerah Kulai pada hari ini.

Sebenarnya peristiwa yang berlaku hanyalah kebetulan. Sang Kura-Kura pada masa yang sama melalui kawasan hutan itu untuk menuju ke gua dan orang-orang Cina itu kebetulan juga berhenti rehat disana. Setelah Sang Kura-Kura sampai di Gua, Sang Kura-Kura terus mencari sahabatnya Sang Monyet yang terlantar di dalam gua.

Sang Monyet yang melihat kedatangan sahabatnya itu, terus menjadi ceria dan gembira . Mereka berpelukan antara satu sama lain kerana terlalu rindu untuk berjumpa.

Saturday, 17 January 2026

CERITA RAKYAT JOHOR ASAL USUL DANAU BEROMBAK 2026

 CERITA MITOS AKIBAT LUPA DARATAN DAN MISTERI DANAU BEROMBAK

Diceritakan dan diolah semula oleh : Zulkifli Bin Kamaruddin 2026

Diceritakan oleh orang dahulu kala, terdapat sebuah tasik misteri di hujung sebuah kampung dalam daerah Segamat Negeri Johor. Mengikut cerita orang-orang kampung, tasik ini dianggap misteri kerana dikatakan dijaga oleh seekor naga. Tasik ini dikatakan misteri kerana dikata tasik ini mempunyai banyak emas dan harta karun. Tetapi tiada sesiapa yang berani mengambil harta dan emas itu. Pada satu-satu masa, air di kawasan tasik ini seolah-olah berombak seperti ada sesuatu yang tinggal didalam dasar tasik itu.

Tersebutlah kisah seorang pemuda desa bernama Amat yang dikatakan seorang pemuda kampung yang hidup dalam kemiskinan. Amat hanya bekerja memungut hasil hutan dan mengambil upah memburu haiwan di hutan. Kehidupan amat umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kehidupanya hanya cukup untuk menyiara kehidupanya seorang.

Pada masa itu, Amat juga telah menaruh hati dan perasaan cinta dengan seorang anak gadis yang bernama Seri Bulan. Seri Bulan merupakan anak seorang pembesar di daerah Segamat. Seri Bulan juga menaruh hari dan turut mencintai Amat. Mereka berdua pernah beberapa kali berjumpa dan setia berjanji untuk saling setia dan cinta antara satu sama lain.

Perjumpaan Amat dan Seri Bulan akhirnya telah diketahui oleh Datuk Setia Raja iaitu Bapa kepada Seri Bulan. Datuk Setia Raja telah memanggil Amat untuk berjumpa di rumahnya. Apabila Amat tiba di rumah Datuk Setia Raja, Si Amat di bawa ke Balai Pertemuan. Disana Datuk Setia Raja bersama isterinya telah berada menunggu Amat.

Sebaik sahaja Amat tiba, Datuk Setia Raja menjemput Amat untuk menikmati makanan yang disajikan bersama-sama. Amat pada masa itu sungguh tidak menyangka bahawa Datuk Setia Raja seorang pemimpin yang amat baik hati. Beliau tidak memandang rendah kepada sesiapa sahaja yang berada bersamanya. Oleh kerana itulah semua masyarakat desa yang ada di seluruh daerah Segamat amat menghormati Datuk Setia Raja.

Setelah selesai menjamah makanan, Datuk Setia Raja terus berbicara bersama Amat :

" Wahai Anak Muda, hamba tahu bahawa tuan hamba telah bercinta dengan anak hamba bernama Seri Bulan. Pada hemat hamba, sebagai seorang ayah, hamba dan isteri hamba tidak pernah menghalang mana- mana pemuda yang ingin memperisteri Seri Bulan. Tetapi hamba mengharapkan supaya bakal suami Seri Bulan harus ada kekayaan setaraf dengan kedudukan Seri Bulan.

Maka Amat berkata : Ampunkan hamba Datuk, Hamba mengaku bahawa hamba amat mencintai Seri Bulan. Jika itu yang Datuk syaratkan untuk mengizinkan hamba memperisteri Seri Bulan, hamba akan usahakan.

Setelah mendengar kata-kata daripada Si Amat, Datuk Setia Raja dan isterinya tersenyum gembira. Setelah itu, Amat segera memohon izin untuk beredar pergi meninggalkan rumah Datuk Setia Raja. Setibanya Amat di terataknya, Amat baring sehingga sambil memikirkan syarat yang dikenakan oleh Datuk Setia Raja sekiranya ingin mengahwini Seri Bulan.

Sewaktu fikiran Amat melayang, tiba-tiba terlintas difikiran Amat tentang Danau Berombak. Fikiran Amat mula memikirkan tentang Danau misteri itu. Dalam hatinya Amat berkata :

" Oh ya...hamba fikir hanya dengan mencari emas dikawasan danau ini , hamba boleh mencapai cita-cita hamba untuk mengahwini Seri Bulan. "

Seterusnya, tanpa berfikir panjang Si Amat terus menyisipkan sebilah parang dipinggangnya dan segera menuju ke danau. Sebaik tiba di danau, Si Amat memerhati keadaan di sekelilingnya. Ternyata tidak ada apa-apa yang pelik di sekitar kawasan danau. Si Amat mundar-mandir disekitar kawasan danau. Di permukaan danau , terlihat airnya sangat biru dan jernih. Namun,permukaan di tengah danau kelihatan hitam. Mungkin itu kawasan paling dalam di kawasan tasik.

Setelah menghabiskan banyak masa berjalan-jalan dikawasan tasik, akhirnya, perasaan bosan mula melanda Amat,

" Sudah puas aku mencari harta emas di sini, tapi tiada juga yang aku temui."

Sambil mengambil sebiji batu, Si Amat melemparkan ke permukaan tasik sebelum beredar pergi. Namun, tindakan Ahmad itu merubah segalanya. Sewaktu Amat ingin melangkah pergi untuk meninggalkan danau, tiba tiba muncul sebiji kotak emas dipermukaan danau dan secara perlahan-lahan hanyut ke gigi tepian danau.

Si Amat berasa pelik dan segera menghampiri kotak itu dan segera ingin membukanya. Namun, alangkah terkejutnya apabila Si Amat membuka kotak itu, ternyata dipenuhi bongkah emas dan berlian. Amat berasa sangat gembira dan segera mengambil kotak itu. Pada masa itu sebenarnya terdapat dua pasang mata yang berwarna merah sedang melihat apa yang Amat lakukan. Namun, sang naga yang bermata merah itu hanya membiarkanya sebagai tanda untuk menguji diri Amat.

Sejak kejadian itu kehidupan Amat telah berubah. Impiannya juga untuk mengahwini Seri Bulan juga turut tercapai. Majlis perkahwinan Si Amat bersama dengan Seri Bulan dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang. Teratak Amat yang dulunya sebuah pondok yang usang kini telah menjadi sebuah mahligai rumah agam yang indah di desa itu.

Kehidupan Amat dan isterinya umpama seperti raja di kayangan. Kehidupan mereka berdua dikelilingi kemewahan. Namun, kakayaan yang diperolehi Amat telah mengubah diri Amat menjadi seorang kaya yang sombong dan bongkak. Demi mendapatkan kemewahan dengan tempoh yang singkat. Amat telah mengenakan hutang yang tinggi bagi sesiapa yang ingin meminjam wang denganya. Selain itu, jika ada fakir miskin dan orang susah yang datang berjumpa Amat sudah pasti akan dihalau olehnya. Malah ada antara mereka disimbah dengan air kotor jika seseorang yang meminjam wangnya gagal melangsaikan hutangnya.

Sikap Amat itu telah ditegur oleh Datuk Setia Raja, namun, Amat tidak memperdulikan nasihat dan teguran itu. Namun, pada satu hari ketika Amat dan isterinya keluar ke kota dengan menaiki kereta kuda , tiba-tiba kereta kudanya berhenti di tengah jalan. Lalu Amat bertanya

" Siapakah gerangan yang berani menghalang laluan hamba ini, ". Lalu pemandu kereta kuda menjawab :

" Wahai Tuan Besar, dihadapan hamba ini ada seorang nenek tua bersama cucunya ingin meminta makanan. Nenek dan cucu ini lapar.

Mendengar kata-kata itu, Amat terus keluar dari kereta kuda sementara isterinya hanya duduk didalam. Seterusnya Amat berkata dengan bongkaknya kepada nenek tua itu.

" Wahai nenek, tidak nampak kah nenek bahawa nenek menghalang hamba untuk ke kota,"

Lalu disahut oleh nenek tua itu :

" Wahai tuan besar Amat ampumnilah nenek sesungguhnya nenek ingin belas kasihan daripada Tuan Besar Ahmad untuk nenek dan cucu mendapatkan sedikit makanan kerana nenek dan cucu sudah hampir 3 hari tidak makan. Setelah itu, Amat berkata :

" Mengapa nenek mahu meminta kepada hamba, nenek seharusnya berusaha sedaya upaya nenek untuk mencari makanan. Mengapa pula hamba yang nenek minta. "

Tanpa berlengah si amat masuk ke dalam kereta kuda dan terus melemparkan beberapa biji buah-buahan ke atas tanah lalu segera beredar dengan kereta kudanya. Warga desa yang melihat keadaan tersebut amat terkejut, warga desa tidak menyangka Amat sanggup berbuat demikian kepada orang tua dan anak kecil itu dengan tidak berperikemanusiaan. Warga desa semakin marah dan mula membenci Amat.

Selang beberapa ketika, berlakulah malapetaka kepada Amat. Pada satu hari ketika Amat dan isterinya bangun dari tidur, tiba-tiba rumah again yang dahulu nya indah telah bertukar menjadi sebuah pondok kayu. Semua harta dan wang emas didalam peti besi bertukar menjadi pasir dan tebu, kereta kuda Amat pula bertukar menjadi batu.

Amat dan isterinya terkejut dengan peristiwa yang berlaku. Selang beberapa ketika, Seri Bulan telah hilang melarikan diri. Pada masa itu Si Amat telah ditinggalkan seorang diri. Amat berasa sangat sedih namun dia bertekad untuk mengembalikan kehidupan nya seperti dahulu. Tanpa berlengah Amat berjalan menuju ke danau semula.

Seperti biasa , Amat mengambil beberapa ketul batu dan melempar ke tengah permukaan danau, namun, tidak ada apa apa yang berlaku, namun, beberapa ketika, air danau yang tenang tiba-tiba berkocak dan berombak dengan deras. Haiwan yang ada di kawasan danau lari bertempiaran kerana ketakutan. Amat juga berasa gentar dengan keadaan yang berlaku .

Tiba-tiba muncul satu naga bersisik emas dan bermata merah tajam daripada permukaan tasik. Naga itu memandang Amat dengan perasaan yang amat marah. Naga itu berkata :

" Wahai manusia, tidak ku sangka diri kau berubah bila aku hadiahkan emas kepada kau.Sesungguhnya engkau seorang manusia yang sombong dan riak bila mendapat kemewahan."

Setelah mendengar kata naga itu , Amat terus berkata :

" Wahai Sang Naga . Ampunkan lah hamba. Dan hamba berjanji tidak akan mengulangi kesilapan hamba. Berikanlah hamba peluang kedua.

Setelah mendengar kata-kata daripada Amat. Sang Naga berkata:

" Wahai manusia, tidak ada lagi peluang kedua. Engkau harus menanggung segala akibat daripada perbuatanmu ini. Aku akan tamatkan riwayat hidup mu di danau ini.

Setelah mendengar kata-kata Sang Naga itu, tiba-tiba tubuhnya menjadi keras dan kaku, Amat tidak boleh berkata-kata. Amat rebah ke bumi. Sang Naga pula terus menyelam ke dasar tasik. Tubuh Amat yang rebah itu perlahan - lahan ditumbuhi dengan rumput yang menghijau menbentuk sebuah bukit. Di bukit itu juga ditumbuhi oleh sebatang Pokok Pulai.

Setelah beberapa ketika, danau yang cantik itu tiba-tiba menjadi kawasan tempat yang berpaya dan ditumbuhi dengan semak samun dan daun lalang yang menggunung. Orang-orang tua di kampung itu mengatakan bahawa kawasan ini dikenali sebagai Paya Berombak berdekatan dengan Kampung Bumbun dalam Mukim Jambi di Daerah Segamat.