Saturday, 17 January 2026

CERITA RAKYAT JOHOR ASAL USUL PULAU BATU CAWAN MERSING

 CERITA RAKYAT ASAL USUL PULAU BATU PINGGAN

Diolah dan diceritakan semula oleh : Zulkifli Bin Kamaruddin 2026


Tersebutlah sebuah kisah yang berlaku di daerah Mersing pada zaman dahulu. Sebuah desa yang Indah dan permai itu akan mengadakan satu keramaian untuk melangsungkan satu majlis perkahwinan. Majlis perkahwinan tersebut merupakan anak kepada Ketua Kampung Tanah Barong dan anak Ketua Kampung Tanah Merah.


Seperti adat masyarakat dahulu kala, beberapa hari sebelum majlis perkahwinan tersebut diadakan  acara gotong-royong antara penduduk kampung mula diadakan. Ada yang ditugaskan untuk memasang khemah,  ada yang ditugaskan untuk membuat pelamin,  ada yang ditugaskan untuk acara memasak dan bermacam-macam lagi.


Suasana riuh-rendah dengan gelak ketawa orang kampung yang datang ke persiapan majlis perkahwinan itu sungguh meriah.  Kedua-dua ketua kampung juga turut sama turun padang untuk melihat orang kampung membuat persiapan. Sewaktu sibuk membuat persiapan majlis, tiba-tiba seorang juak-juak dari Istana Sultan Johor telah datang berjumpa dengan kedua-dua ketua kampung itu lalu berkata :


" Hamba datang membawa berita dari istana untuk tuan hamba berdua. Hamba dititahkan oleh Tuanku Sultan Johor bahawa baginda ingin mencemar duli ke ke kampung ini untuk melawat rakyat jelata. Baginda juga berkenan untuk menatap pacal mempelai semasa majlis perkahwinan ini nanti.


Setelah kedua-dua ketua kampung itu mendengar titah yang disampaikan oleh juak-juak itu, maka ketua kampung itu berasa amat suka cita dan terlalu gembira kerana Tuanku Sultan Johor ingin berangkat ke majis mereka. Seterusnya,  berita baik itu disampaikan kepada seluruh orang kampung .


Apabila perkhabaran itu disampaikan , maka seluruh orang kampung juga turut gembira. Orang kampung semakin bersemangat untuk menjayakan majlis perkahwinan itu. Semua perancangan majlis disusun rapi tanpa ada sedikit pun cacat celanya. Bagi pasangan pengantin pula, mak andam dan pak andam juga sibuk menyiapkan bakal pengantin. Segala keperluan dan kesungguhan dilakukan dengan sempurna supaya pasangan pengantin kelihatan anggun  dan menawan.


Untuk memastikan cuaca dalam keadaan baik, seorang pawang hujan telah dijemput untuk melakukan doa supaya hujan tidak ada semasa majlis perkahwinan itu diadakan. Suasana majlis perkahwinan bertambah meriah apabila orang kampung turut membuat persembahan seperti Tarian Barongan, Kuda Kepang, Tari Gamelan dan seumpamanya.


Pada masa itu kedua-dua orang ketua kampung itu hanya duduk di anjung rumah sambil menyaksikan kemeriahan majlis yang diraikan pada masa itu. Sewaktu leka menyaksikan kemeriahan majlis Tok Ketua Kampung Barong berkata kepada Tok Ketua Kampung Tanah Merah yang juga besannya itu.


" Wahai Besan ku. Esok anak kita akan disatukan dalam majlis perkahwinan nanti. Pada hemat hamba,  belum pernah lagi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ingin mencemar duli ke keramaian rakyat biasa seperti kita ini di negeri johor. Hamba seolah-oleh tidak percaya dengan titah yang dikatakan oleh Juak-Juak tadi.


Maka Tok Ketua Kampung Tanah Merah berkata : 


" Ya Besanku, hamba juga berpendapat yang sama seperti apa yang tuan hamba katakan itu. Pada hemat hamba, ini mungkin tuah anak kita yang diizinkan tuhan. Hari bahagia mereka menjadi pilihan baginda Tuanku Sultan untuk berangkat ke kampung kita. Bagi hamba, ini satu penghormatan besar untuk warga desa di daerah ini.


Sambil ketawa dengan wajah yang riang,  kedua-dua ketua kampung ini memeluk erat antara satu sama lain menggambarkan perasaan yang amat gembira untuk melangsungkan perkahwinan anak mereka.

Dengan ikatan perkahwinan ini sudah pastinya hubungan kedua-dua buah keluarga ini akan menjadi erat sekali gus hubungan persahabatan antara kedua-dua desa ini juga akan bertambah erat.


Maka keesokan harinya berlangsunglah majlis perkahwinan tersebut.

Rombongan pengantin lelaki dari Kampung Tanah Barong menaiki Seekor Gajah yang bernama Pura Kencana serta diiringi 4 kereta kuda yang membawa hantaran perkahwinan. Tok Ketua Kampung Barong bersama isterinya menaiki salah sebuah kereta kuda itu.


Sebaik sahaja rombongan penganti lelaki tiba dihalaman rumah Tok Ketua Kampung Tanah Merah, rombongan pengantin telah disambut dengan persembahan silat dengan iringan muzik gamelan. Suasana sangat meriah dengan kehadiran seluruh warga desa. Dihadapan rumah pula, Tok Ketua Kampung Tanah Merah dan isterinya telah bersiap sedia dengan kehadiran menantu dan besan barunya itu.


Dengan perasaan yang penuh bangga dan gembira, Tok Ketua Kampung Tanah Merah dan isterinya menjemput semua rombongan pengantin lelaki ke Balai Adat untuk menikmati sajian. Pada masa itu juga, perkarangan rumah Tok Ketua Kampung Tanah Merah terus menerus dibanjiri para tetamu jemputan yang hadir.


Ada antara mereka yang membawa hadiah, ada yang datang memberikan wang dan ada pula tetamu yang datang membawa hidangan sajian untuk dinikmati bersama-sama. Bergitulah yang digambarkan kemeriahan majlis perkahwinan itu.


Namun, selang beberapa ketika, sewaktu sedang asyik melayan tetamu, secara tiba-tiba tetamu majlis terdengar paluan gong dipalu. Pada masa itu juga kelihatan dari jauh beberapa pasukan tentera berkuda Sultan Johor sedang menghampiri kawasan rumah Tok Ketua Kampung Tanah  Merah. 


Maka benarlah seperti yang dikata oleh Juak-Juak kelmarin bahawa baginda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor ingin mencemar duli ke majlis ini.  Kedua-dua ketua kampung itu sememangnya telah bersedia bersama warga desa menunggu keberangkatan baginda Sultan. 


Sebaik sahaja Tuanku Sultan Johor tiba diperkarangan majlis, baginda turun dari tunggangan kuda dan bersalam-salaman dengan warga desa. Setelah tiba di Balai Adat, Baginda  Tuanku Sultan Johor bertitah : 


" Beta ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Tok Ketua Kampung Barong dan Tok Ketua Kampung Tanah Merah kerana berjaya melansungkan majlis perkahwinan ini. 


Seterusnya digambarkan Baginda Sultan Johor telah menghampiri pasangan pengantin lalu menyerahkan sekotak wang emas kepada pasangan pengantin dan berkata :


" Terimalah pemberian hadiah ini daripada beta. Beta mendoakan perkahwinan kalian berdua berkekalan selama-lamanya."


Lalu kedua-dua pasangan pengantin itu mengangkat sembah lalu berkata : 


" Ampun Tuanku, patik berdua menjunjung kasih atas pemberian hadiah ini."


Sejurus kemudian, Tuanku Sultan Johor memanggil salah seorang pegawainya membawa sebuah kotak. Kotak itu telah diletakkan di tengah-tengah Balai Adat. Seterusnya, Baginda langsung bertitah:


"Terimalah hadiah daripada beta sebagai kenangan. Beta harus berangkat pergi. Moga kita berjumpa lagi."


Seterusnya, baginda Tuanku Sultan Johor bersama dengan pegawai- pegawainya segera meninggalkan majlis perkahwinan itu. Semua tetamu sekalian mengangkat sembah kepada Baginda Sultan Johor sebagai tanda hormat keberangkatan Baginda mencemar duli ke majlis.


Sebaik sahaja Baginda Sultan Johor berangkat, Tok Ketua Kampung Barong dan Tok Ketua Kampung Tanah Merah menghampiri kotak hadiah itu. Kedua-duanya tidak sabar untuk melihat apakah kurnian hadiah Baginda Sultan Johor kepada mereka. Seterusnya Tok Ketua Kampung Tanah Merah meminta anak buahnya membuka hadiah itu.


Semua tetamu yang hadir juga turut menyaksikan dan ingin tahu apakah kandungan hadiah kotak itu. Apabila kotak itu dibuka, satu kilauan emas terpantul keluar daripada kotak itu. Semua yang menyaksikan nya terkejut dengan sinaran emas itu. Apabila keseluruhan kotak dibuka  alangkah terkejutnya hadiah itu ialah sepasang cawan emas bertatahkan berlian.


Semua tetamu berasa teruja melihatnya. Pada masa itu, Tok Ketua Kampung Barong bersama isterinya bergegas ke kotak itu untuk mengambil cawan emas itu. Pada masa yang sama juga, Tok Ketua Kampung Tanah Merah  dan isteri nya juga turut bergegas untuk mendapatkan cawan itu.


Apabila kedua-dua Ketua Kampung itu berada disamping cawan emas itu, maka bermulalah pertikaian antara kedua-dua ketua kampung ini terjadi. Tok Ketua Kampung Barong berkata :


" Pada hemat anda, cawan emas ini adalah untuk keluarga hamba kerana keluarga hamba telah banyak memberi belanja untuk majlis ini.


Setelah mendengar kata-kata daripada Tok Ketua Kampung Barong itu  maka Tok Ketua Kampung Tanah Merah pula berkata :


" Maafkan hamba Tok Ketua Kampung Barong,  soalnya, majlis perkahwinan ini didadakan di kampung hamba, jadi sudah pasti cawan emas ini adalah milk keluarga hamba.


Namun, Tok Ketua Kampung Barong tetap bertegas untuk mendapatkan cawan emas itu. Maka bermulalah pertikaman lidah antara kedua-dua orang Ketua Kampung itu.


Semua tetamu yang hadir berasa hairan dengan peristiwa yang berlaku pada masa itu. Pasangan pengantin juga turut berasa risau dan malu melihat ibu bapa mereka berebut- rebut untuk mendapatkan cawan emas itu.


Diceritakan oleh tetamu yang hadir apabila kedua-dua ketua Kampung itu tidak mahu mengalah,  maka Tok Ketua Kampung Barong telah mencabar besannya itu beradu tenaga mengunakan keris masing- masing.  Dalam pertarungan itu, sekiranya salah seorang menang beradu senjata itu , cawan emas itu akan dimiliki oleh pemenang.


Semua tetamu yang hadir itu mulai risau melihat peristiwa yang berlaku antara kedua-dua Ketua Kampung itu. 


Akhirnya kedua-dua Ketua Kampung itu bersetuju dan mengeluarkan keris dipinggang untuk bertempur.Maka sebelum sempat pertarungan itu berlaku, tiba tiba muncul seorang lelaki tua yan berjubah putih dan berserban di tengah-tengah Balai Adat itu dan berkata :


" Wahai cucuku, apakah kalian berfikir dengan bertarung  dapat memberikan kekayaan yang kekal abadi semata-mata cawan emas ini. Adakah kalian berdua sanggup melihat orang yang disayangi mati disini hanya kerana sifat tamak kalian untuk mendapatkan cawan emas ini."


Semua yang ada di majlis itu diam seketika mendengar kata-kata daripada lelaki tua itu. Apabila didengar oleh kedua-dua tok Ketua Kampung itu, masing-masing terdiam dan menyarungkan kembali keris. 


Kedua-dua Tok Ketua Kampung  ini terus melutut ke lantai dan menangis keinsafan mendengar kata-kata daripada lelaki tua itu.


Seterusnya, lelaki tua itu mengambil cawan emas itu lalu melemparkan cawan emas itu ke arah laut. Maka,  dengan kuasa tuhan, cawan emas itu telah bertukar menjadi sebuah pulau yang sehingga hari ini masih boleh dilihat di daerah pantai Mersing.


Menurut kisah,  kedua-dua orang Ketua Kampung itu bermaaf-maafan antara satu sama lain.



No comments:

Post a Comment